Buku Pilihan: Introducing Media Studies
Secara purata, individu berumur 60 tahun telah mendengar, melihat atau membaca 50 juta iklan sepanjang hidupnya. Kita juga mendapat berita sepanjang waktu dari radio, televisyen, dan internet. Media memang berlegar sekitar hidup kita jadi apa kata kita cuba memahaminya?
Buku tulisan Ziauddin Sardar ini memberi pengenalan yang segar dan menarik tentang apa itu media. Illustrasi gila-gila Borin Van Loon pula melengkapkan buku ini untuk memberi gambaran yang lebih jelas lagi.
Beberapa fenomena media diterangkan dalam buku ini seperti:
- Adakah cerita ganas menyebabkan kanak-kanak terpengaruh?
- Bagaimana iklan menimbulkan keinginan untuk membeli?
- Apa maksudnya iklan rokok yang tidak menunjukkan rokok?
- Mengapa hujanan berita di media sukar mengubah pilihan dalam politik?
Harga buku ini adalah RM38.50 dan jumlah itu memang pelaburan yang berbaloi untuk memahami dunia serta realiti kita yang dibentuk media dan membentuk media.
Filed under Budaya, Buku, Media, Tokoh, UK, US | Comments (3)Star Wars Episode 2.5?

“Clone Wars? Ini Star Wars episod yang mana? Bukan Episod II dahulu tentang klon juga?”
“Ini filem CGI Star Wars, ceritanya antara Episode II: Attack of the Clones dan Episod III: Revenge of the Sith.”
“Oh, begitu. Kiranyanya ni Star Wars 2.5 begitu?”
Saya menjawab sambil tertawa, “Begitulah, senang kira.”
Itulah dialog yang terbit apabila saya mengajak beberapa rakan penulis untuk menonton Clone Wars. Asalanya saya mengajak Syarafuddin, tetapi dia kurang sihat maka Azree Hanifiah pula menjadi ganti. Kebetulan dia juga sudah lama tidak menonton wayang.
Berbalik kepada ulasan The Clone Wars yang dijanjikan pengarah filem bahawa penonton akan melihat Star Wars dalam perspektif baru. Maka, kita kaji dari sudut ini dahulu.
Transisi dari live-action kepada 3D CGI adalah baik dan masih mengekalkan ‘feel’ siri yang asal. Walaupun menggunakan pelakon suara yang berbeza, Anakin & Obi-Wan kekal dengan perawakan yang sama.
Beberapa watak baru turut diperkenalkan terutamanya keluarga Jabba the Hutt seperti pakciknya Ziro dan anaknya ‘Stinky’. Mereka memainkan peranan penting dalam plot filem ini. Clone Troopers juga tampil sedikit lebih individual dengan watak seperti Captain Rex dan Oddball.
Aksi-aksi pertempuran juga dipersembahkan dengan cemerlang dan memang padat di sepanjang cerita. Banyak aksi lawan lightsaber satu lawan satu antara Sith dan Jedi di samping aksi gempur tahap batallion. Beberapa misi ala komando juga diselitkan dalam cerita ini. Pendek kata, tidak pernah kurang aksi dalam filem ini!
Tetapi, aspek emosi dan drama adalah kurang dalam filem ini. Dalam temuramah di laman web rasmi Star Wars, beliau menyatakan bahawa hasratnya adalah menyuntik aspek individu kepada Clone Troopers serta meningkatkan empati terhadap mereka. Kata beliau lagi, penonton tidak seharusnya melihat Clone Troopers seperti mesin yang boleh dibazirkan begitu sahaja. Penonton harus rasa sedih jika Clone Troopers itu mati.
Namun, ciri individual yang ditampilkan lebih bersifat kosmetik semata-mata seperti perbezaan warna uniform dan stail rambut. Tambah pula kebanyakan masa mereka memakai helmet maka tidak terasa mereka adalah individu yang berbeza. Malah, Droid Army mungkin lebih diingati dalam filem kerana lawak slapstick mereka yang membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang cerita.
Kesimpulannya? The Clone Wars adalah fliem hiburan untuk seisi keluarga tetapi mungkin kurang ‘keras’ untuk peminat tegar siri Star Wars.
Filed under Animasi, Fiksyen Sains, Filem, Robot, US | Comments (2)Sophia’s Journal: Time Warp 1857
Sinopsis: Novel ini mengisahkan tentang Sophia, seorang American Muslim. Dalam satu kembara bersama keluarga di Kansas, Sophia telah terjatuh ke dalam sungai lalu terdampar ke tahun 1857 - di tengah-tengah kekalutan Bleeding Kansas. Sophia terkejut dengan perhambaan yang masih berleluasa dan berusaha untuk melawannya. Baca lebih lanjut di sini
Saya terjumpa buku ini secara tidak sengaja lewat Facebook dan memang tertarik dengan premis ceritanya. Apatah lagi bila dikatakan penulisnya membuat penyelidikan yang menyeluruh tentang sejarah Amerika. Malah, resepi era 1857 turut dimuatkan dalam buku ini.
Novel ini boleh dikategorikan sebagai historical fiction atau fiksyen sains/fantasi (bergantung kepada cara Sophia sampai ke tahun 1857). Mungkin juga alternate-history kalau ada perubahan besar dalam sejarah 1857. Tentunya saya teruja kerana wujud genre sebegini dalam komuniti Muslim di luar sana.
Harganya sekitar USD10 dan diikutkan saya memang mampu membelinya. Cuma, saya tiada kad kredit untuk pembayaran. Siapa mahu tolong?
Filed under Fiksyen Sains, Sejarah, UK, US | Comments (4)Bersedia Untuk Membedah Buku!
Novel Dune karya Frank Herbert dikatakan sebagai salah satu novel fiksyen sains teragung dan paling laris jualannya. Dune juga diiktiraf sebagai novel fiksyen sains yang pertama membincangkan ekologi secara serius. Planet Arrakis dan cacing-cacing gergasinya memainkan peranan besar dalam saga ini.
Namun, pembedahan buku ini nanti bukanlah review kerana sudah terlalu banyak ulasan yang ditulis sebelum ini. Sebaliknya, kita akan sama-sama menyorot isu-isu yang diketengahkan Frank Herbert dalam Dune. Antara isu tersebut adalah:
- Pluralisme agama
- Ekstremism dan terrorism
- Bayangan budaya Melayu dalam Dune
Bagaimana, menarik bukan? Saya menjemput rakan-rakan sekalian untuk memberi pendapat bagi isu ini. Silakan emel saya di ibnu.ariff@gmail.com atau tinggalkan komen di entri ini.
Filed under Agama, Fiksyen Sains, Malaysia, Novel, US | Comments (5)Naga & Agama
Selalunya apabila membicarakan tentang fantasi dan fiksyen sains, karya-karyanya bersifat sekular. Sekular dalam erti kata tiada disebut dengan nyata agama apa yang dianuti oleh watak-watak. Cerita fantasi selalunya lebih kepada kepercayaan dewa-dewi sedangkan fiksyen sains pula selalunya bersifat atheis.
Namun dalam siri Temeraire, ada dua peristiwa yang menunjukkan dengan jelas tentang dua agama utama dunia iaitu Islam & Kristian. Siri Temeraire adalah satu siri fantasi dan alternate history di mana semasa Perang Napoleon naga-naga serta para penunggang naga digunakan sebagai tentera udara. Bayangkan semasa era Imperialism sudah ada pertempuran udara. Naga-naga ini pula berakal dan mampu berfikir seperti manusia, bahkan lebih baik lagi.
Dalam buku ketiga iaitu Black Powder War, Temeraire dan penunggangnya Lawrence singgah di Asia Tengah sekitar Kazakhtan. Masyarakat di situ beragama Islam serta naga mereka turut sama bersujud dan bersolat di dataran kota.
Dalam buku keempat - Empire of Ivory pula, terdapat satu peristiwa di mana Temeraire berbincang dengan Reverend Josiah tentang Kristian. Reverend Josiah mengatakan bahawa bahawa naga tidak tertakluk kepada ‘Original Sin’. Oleh itu, Kristian tidak relevan kepada naga kerana tiada ‘Original Sin’ yang hendak dihapuskan.
Jadi, apakah pemerhatian yang dibuat oleh pembaca dalam dua-dua kes ini? Dalam Islam, semua makhluk adalah ciptaan Tuhan dan perlu tunduk kepada-Nya. Semua makhluk beribadah kepada-Nya dengan cara yang tersendiri. Sedangkan Kristian pula relevan kepada manusia sahaja. Tambahan pula, watak orang Eropah dalam siri ini memandang hina kepada Reverend Josiah yang berkulit hitam sungguhpun mereka menganut agama yang sama.
Filed under Agama, Fantasi, Novel, UK, US | Comments (3)



