Ramalan Orson Scott Card Tentang Blogger
Orson Scott Card adalah novelis sai-fai yang tersohor. Karya sulungnya Ender’s Game memenangi Hugo Award & Nebula Award. Dalam novel tersebut Orson Scott Card membayangkan bagaimana dua adik-beradik Peter & Valentine menggunakan gelaran ‘Locke’ & ‘Demosthenes’ menyertai forum Internet. Dikurniakan akal genius, mereka membuat analisis politik dan mula ‘meracun’ masyarakat global dengan doktrin politik mereka. Semua ini dilakukan tanpa mendedahkan identiti sebenar mereka.
Baru-baru ini IHT melaporkan bahawa seorang blogger yang menggunakan nama ‘Minerva’ telah ditahan oleh pihak berkuasa Korea Selatan. Kesalahannya? Membuat analisis dan ramalan tentang ekonomi. Minerva telah berjaya meramalkan kejatuhan Lehman Brothers dan arahan kerajaan Korea Selatan kepada syarikat-syarikat supaya berhenti membeli US Dollar.
Kes ini sangat menarik kerana ada beberapa persamaan. Pertama, nama Minerva & Demosthenes adalah berasal dari peradaban Greek. Kedua, dunia Ender’s Game dan Korea Selatan mencatatkan peratusan penggunaan internet yang tinggi. Akhir sekali Locke, Demosthenes & Minerva tidak pernah ke universiti. Analisis mereka bergantung kepada pembelajaran dan pemerhatian mereka sendiri semata-mata!
Nota: Ender’s Game diterbitkan pada tahun 1985 sebelum penggunaan internet menjadi meluas dan istilah blog digunakan.
Filed under Asia, Bisnes, Fiksyen Sains, Media, Novel, US | Comments (2)MS Gundam 00: Anime Sai-Fai Pasca 9/11
Siang tadi saya pergi berjumpa Wan Rausyanfikir, pemuda yang aktif menulis di majalah Milenia. Kerana saya pernah dan akan menulis lagi untuk Milenia, kiranya kami rakan semajalah juga. Bincang punya bincang, dia tanya apa yang saya nampak dalam fiksyen sains. Saya jawab banyak karya fiksyen sains membawa kritikan sosial dan politik sebenarnya. Sebagai contoh, MS Gundam 00 membawa isu-isu kontemporari yang amat relevan dalam dunia penuh bergolak kini.
Pertama sekali, konflik berkisar kepada monopoli sumber tenaga iaitu tenaga solar daripada stesen angkasa lepas. Kuasa-kuasa besar menggunakan kuasa yang bersih dan tidak terbatas ini untuk memeras negara-negara lain terutamanya yang selama ini bergantung kepada eksport minyak.
MS Gundam 00 juga membawa penonton melihat ‘keganasan’ daripada perspektif mereka yang melihatnya sebagai gerakan ‘pembebasan’. Sungguhpun berlatarkan bumi 300 tahun akan datang Ireland Utara, Sri Lanka, Amerika Latin dan Timur Tengah masih lagi bergolak. Bunyinya memang tidak masuk akal tetapi apabila difikirkan bahawa Bangsa Moro di Mindanao telah berjuang hampir 500 tahun, skrip itu nampaknya rasional.
Siri ini juga nampaknya secara langsung mengutuk tindakan unilateral Amerika Syarikat dalam ‘perang terhadap keganasan’ terutamanya prinsip ‘anda bersama kami atau anda bersama teroris’ serta tindakan menangkap siapa sahaja yang pernah berhubungan dengan teroris. Malah, penjara untuk para teroris juga digmbarkan terletak di teluk - sama seperti Guantanamo.
Menariknya, MS Gundam 00 juga telah menjangka bahawa seorang African-American akan menerajui Amerika Syarikat. Dengan kemenangan Obama, nampaknya telahan mereka itu tepat. Cuma mereka bersifat skeptikal dengan menggambarkan presiden ini tiada bezanya dengan Bush. Tentang Obama pula, kita tunggu dan lihat sahajalah.
Filed under Fiksyen Sains, Jepun, Politik, Robot, US | Comments (6)Dari R&D ke SF
Siri game Command & Conquer Red Alert memang terkenal dengan rekaan unit yang gila-gila seperti infantri psikik, sotong gergasi dan kereta kebal cahaya. Sekali imbas, rekaan itu nampak seperti fantasi semata-mata tetapi ada beberapa rekaan yang sebenarnya diasaskan daripada R&D ketenteraan sedia ada.
Sebagai contoh, Naginata Cruiser yang dikendalikan Empire of the Rising Sun dalam Red Alert 3:
Rekabentuknya memang tampak futuristik tetapi sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan prototaip RV Triton dalam program Future Surface Combatant oleh UK Navy dan Littoral Combat Ship oleh US Navy. Program ini telah berjalan sejak tahun 2000 lagi.
Konsep trimaran dalam kedua-dua program ini memang bagus untuk negara pesisir seperti Malaysia kerana memberi kebolehan untuk mengendalikan kapal yang besar di perairan yang cetek. Bila Malaysia hendak bangunkan kapal sebegini ya?
Filed under Fiksyen Sains, UK, US | Comments (4)Transformers: Iklan General Motors & US Air Force
Secara mudahnya, begitulah rumusan tentang elemen propaganda dalam filem Transformers. Sepanjang filem itu memang dipenuhi dengan iklan (baca: propaganda) General Motors dan US Air Force. Kenapa saya katakan begitu? Mari kita kaji beberapa elemen dalam filem ini.
Pertama, hampir semua watak Autobots bertukar menjadi kenderaan keluaran General Motors kecuali Optimus Prime yang menjadi lori keluaran Peterbilt. Jenama Chevrolet, GMC, Hummer, dan Pontiac yang mewarnai watak Bumblebee, Ironhide, Ratchet dan Jazz kesemuanya adalah subsidiari General Motors. Pelik juga 4 meteor yang berterbaran di serata US boleh memilih untuk menjadi kenderaan keluaran syarikat yang sama.
Padahal dalam masa yang sama General Motors semakin kehilangan pasaran kepada pengeluar automobil dari Asia seperti Honda dan Toyota. Kenapa pula kita tidak jumpa Transformers Honda Civic atau Toyota Camry sedangkan kedua-dua model itu memang popular di US? Jawapannya - General Motors memang menaja kenderaan-kenderaan untuk filem tersebut!
US Air Force juga mengambil peluang untuk mengiklankan senjata-senjata baru dalam inventori mereka seperti pesawat V22 Osprey dan F22 Raptor. V22 Osprey adalah pesawat baru dengan keupayaan berlepas dan mendarat secara menegak (VTOL) dan pada masa itu mereka hanya mempunyai tiga buah unit. Namun, pihak USAF telah bermurah hati meminjamkan dua pesawat tersebut.
Pesawat F22 Raptor juga menjadi bintang filem tersebut sebagai watak Decepticon popular iaitu Starscream. Keupayaan penerbangan dan persenjataan pesawat itu telah ditingkatkan secara manipulasi digital sebagai stunt dan juga propaganda.
Operasi US Air Force juga digambarkan sebagai sangat tangkas dan efisien apabila menangani ancaman Decepticon di Qatar. Mungkin mereka mahu menunjukkan kepada dunia bahawa mereka boleh menangani kekacauan di Iraq. (Qatar merupakan pusat operasi US dalam kempen penjajahan Iraq)
Sudahlah sebelum filem bermula ditayangkan iklan, filem itu sendiri juga iklan!
Filed under Fiksyen Sains, Filem, Politik, US | Comments (7)Buku Pilihan: Introducing Media Studies
Secara purata, individu berumur 60 tahun telah mendengar, melihat atau membaca 50 juta iklan sepanjang hidupnya. Kita juga mendapat berita sepanjang waktu dari radio, televisyen, dan internet. Media memang berlegar sekitar hidup kita jadi apa kata kita cuba memahaminya?
Buku tulisan Ziauddin Sardar ini memberi pengenalan yang segar dan menarik tentang apa itu media. Illustrasi gila-gila Borin Van Loon pula melengkapkan buku ini untuk memberi gambaran yang lebih jelas lagi.
Beberapa fenomena media diterangkan dalam buku ini seperti:
- Adakah cerita ganas menyebabkan kanak-kanak terpengaruh?
- Bagaimana iklan menimbulkan keinginan untuk membeli?
- Apa maksudnya iklan rokok yang tidak menunjukkan rokok?
- Mengapa hujanan berita di media sukar mengubah pilihan dalam politik?
Harga buku ini adalah RM38.50 dan jumlah itu memang pelaburan yang berbaloi untuk memahami dunia serta realiti kita yang dibentuk media dan membentuk media.
Filed under Budaya, Buku, Media, Tokoh, UK, US | Comments (3)








