Budaya Robot: Jepun Lawan Amerika II

Kegilaan Jepun terhadap robot memang semakin menjadi-jadi. Terbaru, sebuah model berskala penuh setinggi 18 meter telah dibina di tengah-tengah kota Tokyo. Para peminat siri ini dan otaku seluruh dunia memang teruja dengan perkembangan ini memang teruja dengan perkembangan ini. Akhirnya mereka dapat melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana imaginasi mereka kini telah diterjemahkan ke dunia nyata. Pada hemat saya, ini juga satu pengiktirafan bahawa fiksyen sains telah diterima sebagai budaya arus perdana.
Lebih menarik lagi Patrick Galbraith iaitu pengkaji di Universiti Tokyo berkongsi pendapat serupa dengan saya tentang perbezaan sikap terhadap robot dalam fiksyen sains antara Jepun dan Barat. Gundam yang bermula pada tahun 1970-an memaparkan pemuda yang mengemudi robot gergasi dan menggunakannya untuk menyelamatkan dunia. Berbeza dengan fiksyen sains Hollywood sezaman seperti Space Odyssey yang memaparkan bagaimana AI kapal angkasa mahu membunuh krewnya.
Tambah beliau lagi, “Jepun tidak terjebak dengan sudut pandang negatif selepas revolusi industri dan sebenarnya memandang teknologi sebagai harapan untuk masa hadapan.” Salah satu episod dalam siri Gundam terbaru berjudul Mirai No Tameni yang bermaksud Demi Masa Depan.
Apa pula sudut pandang fiksyen sains Melayu terhadap robot?
Gambar dicuplik dari Gizmodo
Kenyataan asal Patrick Galbraith di BBC
Filed under Animasi, Asia, Budaya, Fiksyen Sains, UK, US | Comments (2)Dari R&D ke SF
Siri game Command & Conquer Red Alert memang terkenal dengan rekaan unit yang gila-gila seperti infantri psikik, sotong gergasi dan kereta kebal cahaya. Sekali imbas, rekaan itu nampak seperti fantasi semata-mata tetapi ada beberapa rekaan yang sebenarnya diasaskan daripada R&D ketenteraan sedia ada.
Sebagai contoh, Naginata Cruiser yang dikendalikan Empire of the Rising Sun dalam Red Alert 3:
Rekabentuknya memang tampak futuristik tetapi sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan prototaip RV Triton dalam program Future Surface Combatant oleh UK Navy dan Littoral Combat Ship oleh US Navy. Program ini telah berjalan sejak tahun 2000 lagi.
Konsep trimaran dalam kedua-dua program ini memang bagus untuk negara pesisir seperti Malaysia kerana memberi kebolehan untuk mengendalikan kapal yang besar di perairan yang cetek. Bila Malaysia hendak bangunkan kapal sebegini ya?
Filed under Fiksyen Sains, UK, US | Comments (4)Buku Pilihan: Introducing Media Studies
Secara purata, individu berumur 60 tahun telah mendengar, melihat atau membaca 50 juta iklan sepanjang hidupnya. Kita juga mendapat berita sepanjang waktu dari radio, televisyen, dan internet. Media memang berlegar sekitar hidup kita jadi apa kata kita cuba memahaminya?
Buku tulisan Ziauddin Sardar ini memberi pengenalan yang segar dan menarik tentang apa itu media. Illustrasi gila-gila Borin Van Loon pula melengkapkan buku ini untuk memberi gambaran yang lebih jelas lagi.
Beberapa fenomena media diterangkan dalam buku ini seperti:
- Adakah cerita ganas menyebabkan kanak-kanak terpengaruh?
- Bagaimana iklan menimbulkan keinginan untuk membeli?
- Apa maksudnya iklan rokok yang tidak menunjukkan rokok?
- Mengapa hujanan berita di media sukar mengubah pilihan dalam politik?
Harga buku ini adalah RM38.50 dan jumlah itu memang pelaburan yang berbaloi untuk memahami dunia serta realiti kita yang dibentuk media dan membentuk media.
Filed under Budaya, Buku, Media, Tokoh, UK, US | Comments (3)Sophia’s Journal: Time Warp 1857
Sinopsis: Novel ini mengisahkan tentang Sophia, seorang American Muslim. Dalam satu kembara bersama keluarga di Kansas, Sophia telah terjatuh ke dalam sungai lalu terdampar ke tahun 1857 - di tengah-tengah kekalutan Bleeding Kansas. Sophia terkejut dengan perhambaan yang masih berleluasa dan berusaha untuk melawannya. Baca lebih lanjut di sini
Saya terjumpa buku ini secara tidak sengaja lewat Facebook dan memang tertarik dengan premis ceritanya. Apatah lagi bila dikatakan penulisnya membuat penyelidikan yang menyeluruh tentang sejarah Amerika. Malah, resepi era 1857 turut dimuatkan dalam buku ini.
Novel ini boleh dikategorikan sebagai historical fiction atau fiksyen sains/fantasi (bergantung kepada cara Sophia sampai ke tahun 1857). Mungkin juga alternate-history kalau ada perubahan besar dalam sejarah 1857. Tentunya saya teruja kerana wujud genre sebegini dalam komuniti Muslim di luar sana.
Harganya sekitar USD10 dan diikutkan saya memang mampu membelinya. Cuma, saya tiada kad kredit untuk pembayaran. Siapa mahu tolong?
Filed under Fiksyen Sains, Sejarah, UK, US | Comments (4)Harry Potter: Buku Pendidikan Politik?
Minggu lepas, salah satu perbincangan di blog Pn. Ainon adalah tentang adakah patut PTS menerbitkan buku politik. Puan Wan Norjihan mengatakan bahawa buku Harry Potter mempunyai unsur-unsur pendidikan politik. Berikut adalah komentar beliau:
Puan,
Assalamu’alaikum warahmatullah.
Saya bersetuju dengan Saudara Hafidz. Isu-isu pendidikan politik perlu diserapkan dalam jiwa remaja secara berhikmah. Remaja, adalah golongan yang masih muda dan masih mencari-cari bagaimana untuk membentuk prinsip, apakah betul dan apakah yang salah. Kebanyakan remaja lebih mudah belajar melalui cara yang menghiburkan, melalui lagu, cerita dan muzik.
Oleh itu cerita yang mempunyai unsur-unsur didikan pemikiran mungkin dapat membantu.
Contohnya dalam siri Harry Potter, Rowling menyentuh isu-isu politik dengan bijak. Isu politik yang disentuh bersifat universal. Antarannya :
1. Isu politik dalam komuniti pengamal sihir
Komuniti pengamal sihir mempunyai kementerian mereka sendiri iaitu Kementerian Sihir (Ministry of Magic). Dalam kementerian ini ada Majlis Tertinggi, Council, jabatan-jabatan dan mahkamah.
Rowling menyentuh tentang Menteri Sihirnya (Cornelius Fudge) yang mudah dibeli oleh Lucius Malfoy (watak jahat – pengikut Voldermort). Tentang bagaimana Fudge yang ingin mengekalkan nama baiknya dalam komuniti tersebut sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai menteri enggan mengakui kembalinya si jahat Voldermort (watak yang paling digeruni dalam komuniti sihir ini). Fudge telah mengisytiharkan perang dingin dengan Harry, Dumbledore dan pengikut-pengikutnya. Fudge juga telah mempengaruhi media untuk tidak melaporkan perkara sebenar tetapi hanya perkara yang ingin didengari oleh komuniti supaya mereka rasa selamat.
2. Isu politik ‘terrorism’
Kebangkitan semula Voldermort membawa pelbagai bencana kepada komuniti. Kekejaman dan pembunuhan berleluasa. Kemusnahan terjadi di sana sini. Komuniti ‘muggle’ mengaitkan dengan perbuatan pengganas.
Bagi mengatasi dan menunjukkan bahawa mereka melakukan sesuatu, mereka telah menangkap beberapa individu yang dikatakan terlibat dengan pengganas. Walaupun mereka tahu ada individu tersebut tidak melakukan, tetapi mereka tidak melepaskan dia kerana tidak mahu menunjukkan bahawa mereka telah melakukan kesilapan.
Mereka juga menghukum golongan yang memperjuangkan keamanan.
3. Wujudnya organisasi yang ingin menyelamatkan komuniti
Bagi memperjuangkan keamanan sebuah organisasi perjuangan, Order of the Phoenix telah ditubuhkan semula secara sulit memandangkan pihak kementerian masih menafikan keadaan kritikal yang sedang melanda.
Bagi mereka yang berfikir, siri popular ini bukanlah semata-mata cerita fantasi, tetapi mempunyai garapan isu-isu universal yang perlu dipedulikan oleh golongan muda. Rowling juga menyentuh isu masyarakat majmuk, perkauman, status dan kelas (‘Antara Dua Darjat”), komunikasi, khabar angin dan yang penting perhubungan inter-personal.
Filed under Fantasi, Politik, UK | Comment (0)





