Harry Potter: Buku Pendidikan Politik?

March 19th, 2008

potter190.jpgMinggu lepas, salah satu perbincangan di blog Pn. Ainon adalah tentang adakah patut PTS menerbitkan buku politik. Puan Wan Norjihan mengatakan bahawa buku Harry Potter mempunyai unsur-unsur pendidikan politik. Berikut adalah komentar beliau:

Puan,

Assalamu’alaikum warahmatullah.

Saya bersetuju dengan Saudara Hafidz. Isu-isu pendidikan politik perlu diserapkan dalam jiwa remaja secara berhikmah. Remaja, adalah golongan yang masih muda dan masih mencari-cari bagaimana untuk membentuk prinsip, apakah betul dan apakah yang salah. Kebanyakan remaja lebih mudah belajar melalui cara yang menghiburkan, melalui lagu, cerita dan muzik.

Oleh itu cerita yang mempunyai unsur-unsur didikan pemikiran mungkin dapat membantu.

Contohnya dalam siri Harry Potter, Rowling menyentuh isu-isu politik dengan bijak. Isu politik yang disentuh bersifat universal. Antarannya :

1. Isu politik dalam komuniti pengamal sihir
Komuniti pengamal sihir mempunyai kementerian mereka sendiri iaitu Kementerian Sihir (Ministry of Magic). Dalam kementerian ini ada Majlis Tertinggi, Council, jabatan-jabatan dan mahkamah.
Rowling menyentuh tentang Menteri Sihirnya (Cornelius Fudge) yang mudah dibeli oleh Lucius Malfoy (watak jahat – pengikut Voldermort). Tentang bagaimana Fudge yang ingin mengekalkan nama baiknya dalam komuniti tersebut sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai menteri enggan mengakui kembalinya si jahat Voldermort (watak yang paling digeruni dalam komuniti sihir ini). Fudge telah mengisytiharkan perang dingin dengan Harry, Dumbledore dan pengikut-pengikutnya. Fudge juga telah mempengaruhi media untuk tidak melaporkan perkara sebenar tetapi hanya perkara yang ingin didengari oleh komuniti supaya mereka rasa selamat.

2. Isu politik ‘terrorism’
Kebangkitan semula Voldermort membawa pelbagai bencana kepada komuniti. Kekejaman dan pembunuhan berleluasa. Kemusnahan terjadi di sana sini. Komuniti ‘muggle’ mengaitkan dengan perbuatan pengganas.

Bagi mengatasi dan menunjukkan bahawa mereka melakukan sesuatu, mereka telah menangkap beberapa individu yang dikatakan terlibat dengan pengganas. Walaupun mereka tahu ada individu tersebut tidak melakukan, tetapi mereka tidak melepaskan dia kerana tidak mahu menunjukkan bahawa mereka telah melakukan kesilapan.

Mereka juga menghukum golongan yang memperjuangkan keamanan.

3. Wujudnya organisasi yang ingin menyelamatkan komuniti
Bagi memperjuangkan keamanan sebuah organisasi perjuangan, Order of the Phoenix telah ditubuhkan semula secara sulit memandangkan pihak kementerian masih menafikan keadaan kritikal yang sedang melanda.

Bagi mereka yang berfikir, siri popular ini bukanlah semata-mata cerita fantasi, tetapi mempunyai garapan isu-isu universal yang perlu dipedulikan oleh golongan muda. Rowling juga menyentuh isu masyarakat majmuk, perkauman, status dan kelas (‘Antara Dua Darjat”), komunikasi, khabar angin dan yang penting perhubungan inter-personal.