Manuklon: Dr. Rahmat Haroun

March 26th, 2008

manuklon.jpg

Mengikut sinopsis di kulit buku, novel Manuklon mengisahkan penentangan antara manusia biasa dan manusia klon (manuklon) di zaman akan datang. Dr. Rahmat Haroun memabayangkan bagaimana manusia zaman akan datang ditindas oleh pemerintah manuklon.

Namun, sinopsis itu hanyalah kulit bagi membincangkan isu-isu yang mendalam. Sungguhpun ditulis lebih 17 tahun dahulu, isu-isu yang dikupas di dalamnya adalah amat relevan untuk kita amati dan hayati.

Dari aspek sains dan Islam, Dr. Rahmat Haroun menyentuh tentang implikasi daging yang diubahsuai secara genetik. Dalam Manuklon, isunya adalah daging lembu yang mempunyai bahan genetik babi. Namun, tidak pula diceritakan secara terperinci apakah interpertasi agama terhadap kewujudan manuklon.

Selebihnya, Manuklon banyak memuatkan satira politik tentang isu-isu nasional. Contohnya, isu semangat nasionalis yang dianggap berlawanan dengan agama Islam. Begitu juga peranan mahasiswa sebagai aktivis masyarakat. Sistem kehakiman juga turut disentuh; kes terunggak yang berlambak-lambak, krisis antara hakim, dan juga tahanan tanpa bicara.

Lewat Manuklon, Dr. Rahmat Haroun juga kritis terhadap bangsa Melayu yang  menjadi barisan watak utama dalam novelnya. Ketaksuban terhadap bomoh juga tidak terlepas daripada disentuh dalam Manuklon. Dr. Rahmat Haroun juga membayangkan bagaimana bangsa Melayu perlu bekerjasama dengan bangsa India dan Cina untuk merubah negara Malaysia ke arah yang lebih baik.

Pada hemat saya, Manuklon adalah satu novel wajib baca bagi semua rakyat Malaysia. Dapatkan di Kedai Buku DBP selagi stok masih ada. RM2 sahaja!

Harry Potter: Buku Pendidikan Politik?

March 19th, 2008

potter190.jpgMinggu lepas, salah satu perbincangan di blog Pn. Ainon adalah tentang adakah patut PTS menerbitkan buku politik. Puan Wan Norjihan mengatakan bahawa buku Harry Potter mempunyai unsur-unsur pendidikan politik. Berikut adalah komentar beliau:

Puan,

Assalamu’alaikum warahmatullah.

Saya bersetuju dengan Saudara Hafidz. Isu-isu pendidikan politik perlu diserapkan dalam jiwa remaja secara berhikmah. Remaja, adalah golongan yang masih muda dan masih mencari-cari bagaimana untuk membentuk prinsip, apakah betul dan apakah yang salah. Kebanyakan remaja lebih mudah belajar melalui cara yang menghiburkan, melalui lagu, cerita dan muzik.

Oleh itu cerita yang mempunyai unsur-unsur didikan pemikiran mungkin dapat membantu.

Contohnya dalam siri Harry Potter, Rowling menyentuh isu-isu politik dengan bijak. Isu politik yang disentuh bersifat universal. Antarannya :

1. Isu politik dalam komuniti pengamal sihir
Komuniti pengamal sihir mempunyai kementerian mereka sendiri iaitu Kementerian Sihir (Ministry of Magic). Dalam kementerian ini ada Majlis Tertinggi, Council, jabatan-jabatan dan mahkamah.
Rowling menyentuh tentang Menteri Sihirnya (Cornelius Fudge) yang mudah dibeli oleh Lucius Malfoy (watak jahat – pengikut Voldermort). Tentang bagaimana Fudge yang ingin mengekalkan nama baiknya dalam komuniti tersebut sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai menteri enggan mengakui kembalinya si jahat Voldermort (watak yang paling digeruni dalam komuniti sihir ini). Fudge telah mengisytiharkan perang dingin dengan Harry, Dumbledore dan pengikut-pengikutnya. Fudge juga telah mempengaruhi media untuk tidak melaporkan perkara sebenar tetapi hanya perkara yang ingin didengari oleh komuniti supaya mereka rasa selamat.

2. Isu politik ‘terrorism’
Kebangkitan semula Voldermort membawa pelbagai bencana kepada komuniti. Kekejaman dan pembunuhan berleluasa. Kemusnahan terjadi di sana sini. Komuniti ‘muggle’ mengaitkan dengan perbuatan pengganas.

Bagi mengatasi dan menunjukkan bahawa mereka melakukan sesuatu, mereka telah menangkap beberapa individu yang dikatakan terlibat dengan pengganas. Walaupun mereka tahu ada individu tersebut tidak melakukan, tetapi mereka tidak melepaskan dia kerana tidak mahu menunjukkan bahawa mereka telah melakukan kesilapan.

Mereka juga menghukum golongan yang memperjuangkan keamanan.

3. Wujudnya organisasi yang ingin menyelamatkan komuniti
Bagi memperjuangkan keamanan sebuah organisasi perjuangan, Order of the Phoenix telah ditubuhkan semula secara sulit memandangkan pihak kementerian masih menafikan keadaan kritikal yang sedang melanda.

Bagi mereka yang berfikir, siri popular ini bukanlah semata-mata cerita fantasi, tetapi mempunyai garapan isu-isu universal yang perlu dipedulikan oleh golongan muda. Rowling juga menyentuh isu masyarakat majmuk, perkauman, status dan kelas (‘Antara Dua Darjat”), komunikasi, khabar angin dan yang penting perhubungan inter-personal.