Terapi Sosial Melalui Cerita

December 3rd, 2008

 

Dr. Hans Asperger

Dr. Hans Asperger

Asperger Syndrome merupakan satu keadaan di mana seseorang mempunyai kemahiran komunikasi non-verbal yang rendah, mempunyai empati yang rendah dan cuai dari segi pergerakan fizikal. Sindrom ini adalah sebahagian daripada cabang autism tetapi tidak mengganggu kemahiran kognitif (logik) penghidapnya.

 

Mereka menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan rakan-rakan sebaya kerana kurangnya kebolehan untuk memahami emosi dan bahasa badan orang lain. Sebagai contoh, mereka mungkin terus melakukan sesuatu perbuatan walaupun pihak lain telah merah padam mukanya menunjukkan perasaan marah. 

Di sinilah muncul kecantikan Teori dan Teknik Surah Yusuf. Dalam Teknik Surah Yusuf, pengarang tidak menulis secara terus emosi watak tetapi sebaliknya menulis gerak badan yang menunjukkan emosi atau dinyatakan dalam dialog. Sebagai contoh:

Konvensional: Ahmad meyimbah air kepada Ali. Tetapi Ali tidak berkata apa-apa kerana dia menganggap Ahmad tidak sengaja. Ahmad pula merasa gembira dan menyimbah air lagi kepada Ali tetapi kali ini dia sudah hilang sabar. Dia menyuruh Ahmad berhenti tetapi tidak diendahkannya.

Ahmad menyimbah lagi air kepada Ali dan dia terus dengan keriangannya. Dengan perasaan geram, Ali menghambat Ahmad dan memulas telinganya.

Teknik Surah Yusuf: Ahmad menyimbah air kepada Ali menyebabkan dia basah kuyup. Ali memandang sahaja kepada Ahmad dan tidak berkata apa-apa. Ahmad pula ketawa dan melompat-lompat seperti arnab. 

Sekali lagi Ahmad menyimbah air kepada Ali mengundang Ali menghentakkan kaki serta meninggikan suara, “Cukuplah itu Ahmad!”

Ahmad menyimbah lagi air kepada Ali. Wajah Ali merah padam, tangannya dikepalkan. Sambil mula mengejar Ahmad dia menjerit, “Kau sudah buat aku marah! Siaplah kamu aku kerjakan!”

Teknik Surah Yusuf memberi maklumat yang tidak datang secara alami (natural) kepada penghidap Asperger Syndrome iaitu kemahiran untuk mentafsir gerak badan dan emosi. Oleh itu, cerita yang ditulis secara Teknik Surah Yusuf berpotensi menjadi terapi bagi penghidap Asperger Syndrome.

Sesungguhnya Tuhan yang lebih mengetahui.

Bahan Baru Sai-Fai

October 22nd, 2008

Nampaknya era carbon fibre (gentian karbon) sebagai bahan yang paling kukuh tetapi ringan akan berakhir. ‘Buckypaper’ yang mempunyai struktur karbon yang lebih kuat dan dijangkakan mampu menjadi 50 kali lebih kuat dari keluli dan dalam masa yang sama 10 kali ganda lebih ringan.

Prancing Horse on Carbon Fiber
Gentian Karbon

Para saintis menjangkakan penciptaan bahan ini akan merevolusikan industri aeroangkasa. Satu kelebihan utama ‘buckypaper’ juga adalah keupayaannya untuk mengalirkan elektrik berbanding gentian karbon. Ciri ini akan mendorong penciptaan alat-alat yang lebih kecil dan berkuasa.

Buckypaper

Buckypaper

Oleh itu, para penulis fiksyen sains perlu mengambil kira faktor bahan baru ini dalam menulis karya baru kerana kita perlu berada di hadapan dan bukannya menggunakan bahan yang lapuk!

Teori Surah Yusuf dan Media

August 29th, 2008

“Mengapa perlu mengikut Teori dan Teknik Surah Yusuf yang melarang daripada menceritakan perkara-perkara yang buruk secara terperinci? Bukankah kebejatan dalam masyarakat itu satu realiti?”

Saya terdiam sebentar sebelum menjawab, “Bukankah dalam media kita sekarang sudah terlalu banyak cerita-cerita yang kurang murni mengapa pula kita perlu mengikut sama?”

Dia seakan menerima jawapan saya, “Hmm, betul juga.”

Tetapi, saya sedar balasan itu semacam retorik dan saya perlu mengemukakan alasan yang lebih kukuh. Alasan itu sudah bersarang dalam minda tetapi tidak ketemu ayat dan hujah untuk membentuknya dengan baik.

Alhamdulillah, buku Introducing Media Studies memberi kerangka berguna dalam menyelesaikan hal ini. Kuncinya adalah melihat novel sebagai salah satu bahan media dan apa pengaruh serta impaknya kepada masyarakat.

Media mempersembahkan realiti melalui pelbagai kata-kata, bunyi dan imej. Tetapi, realiti itu adalah realiti yang telah dipilih dan diolah untuk tatapan audiens. Ini adalah serupa dengan proses setiap individu membina realiti sendiri dengan memberi makna kepada apa yang dirasa melalui deria. Media juga membina realiti dunia melalui olahan bahan media. Seorang ahli falsafah bernama Louis Pierre Althusser juga mengatakan bahawa media turut menghasilkan norma masyarakat.

Oleh kerana novel juga adalah sebahagian daripada media, maka novel juga mempunyai kuasa untuk mempengaruhi serta membina realiti dan persepsi audiens. Teori dan Teknik Surah Yusuf menekankan ciri-ciri ideal dan tidak sesekali memberi kemenangan moral kepada kejahatan. Dengan itu, novel yang ditulis dengan Teori dan Teknik Surah Yusuf menyumbang kepada realiti yang lebih baik.

Tetapi ini tidak bermakna bahawa novel yang ditulis mengikut Teori dan Teknik Surah Yusuf itu mempunyai pandangan yang naif. Dalam mencapai kemenangan, antagonis terpaksa menempuh pelbagai peristiwa malang dan menghadapi bilangan antagonis yang ramai. Dengan kata lain, kejahatan dan kebejatan itu diakui kewujudannya tetapi bukan itu yang diangkat kepada audiens.

Nah, ini juga bermakna bahawa para novelis juga adalah pengamal media. Besar tanggungjawabnya!

Lagi Tentang Running Gag

August 24th, 2008

1).Pada pendapat Tuan Profesor Kecil tema apakah yang sesuai digunakan untuk running gag?

2)Kelemahan penggunaan running gag darisegi dialog, pelakuan dan juga visual.Contoh animasi yang menunjukkan kelemahan penggunaan unsur running gag?

3) Ketika bilakah Running gag biasanya digunakan ?

4) Animasi apakah yang selalu menggunakan unsur running gag?

5) Adakah animasi tempatan banyak menggunakan unsur running gag? Contoh animasi tempatan yang menggunakan unsur running gag?

Soalan ini agak panjang dan saya pun tiada masa maka saya jawab satu soalan dahulu iaitu no. 4:

Antara animasi yang banyak menggunakan running gag adalah siri Full Metal Alchemist di mana watak-watak lain menyangkakan bahawa Alphonse Elric adalah alchemist yang terkenal itu. Edward Elric juga selalu diejek sebagai pendek sepanjang animasi tersebut.

Selingan: Apa Itu Barat

July 22nd, 2008

Sebelum kita bicara lebih lanjut tentang mitologi dan nilai dalam fiksyen, ada baiknya kita definisikan apa itu Barat. Lebih tepat lagi, apa itu Tamadun Barat. Tamadun Barat merujuk kepada tradisi norma sosial, nilai, ritual, sistem kepercayaan, politik serta artifak dan teknologi tertentu.

Paksi utama Tamadun Barat adalah seperti berikut:

  • Falsafah & politik - Greek & Rom
  • Kepercayaan & agama - Judeo - Christian (Yahudi & Kristian)

Definisi ini penting kerana dalam dunia global sekarang, sempadan geografi sudah tiada maknanya. Contohnya; Pesta dansa di Malaysia itu Barat sedang Halaqah dan Usrah di UK itu bukannya Barat.