Ada Apa Dengan Manga?
“Di Kinokuniya mereka telah alihkan buku-buku mangga tu ke tempat lain. Susunan buku-buku sudah banyak berubah.”
“Bukan mangga, Pak Adib. Manga, dalam bahasa mudahnya bermaksud komik Jepun.”
Itulah sebahagian perbualan dengan mentor saya minggu lepas semasa kami beriadah di Taman KLCC. Beliau memang kaki buku tetapi sebagai generasi tua tentunya kurang terdedah dengan komik. Mungkin juga ada di kalangan generasi muda yang tidak tahu isitilah ini walaupun sebenarnya sudah biasa membacanya.

Berbalik semula kepada topik manga, istilah ini selalu digunakan untuk merujuk komik dari Jepun. Biasanya manga dilukis dalam format hitam putih dan disiarkan secara bersiri dalam majalah. Siri manga yang hit selalunya dijadikan kompilasi dan dijual sebagai produk berasingan. Manga yang telah dikompilasi dikenali sebagai tankobon.

Di Malaysia, kebanyakan manga yang diterbitkan dalam bentuk tankobon. Antara siri yang terdapat di Malaysia adalah Naruto, Doraemon, Detective Conan, dan One Piece. Majalah Arena dan Kreko pula menyiarkan manga secara bersiri sebagaimana format asal.
Apabila manga dijadikan animasi, ia dikenali sebagai anime. Siri manga yang disebut di atas semuanya mempunyai siri anime masing-masing. Jalan cerita dalam anime dan manga mungkin sama seperti Doraemon atau anime mempunyai lebih banyak episod seperti Naruto. Jalan cerita manga Fullmetal Alchemist pula berbeza daripada siri animasinya.
Filed under Asia, Jepun, Komik, Malaysia | Comment (0)Formula Hero Jepun II
Sambungan dari Formula Hero Jepun:
Ciri 4: Hero Berhati Mulia
Sungguhpun hero-hero Jepun mempunyai kuasa yang hebat, mereka tidak menyalahgunakan kuasa mereka. Mereka menggunakan kuasa mereka untuk menyelamatkan orang ramai, melindungi rakan-rakan mereka. Hingga berhadapan dengan musuh sekali pun mereka masih mempunyai rasa belas kasihan.

Monkey D. Luffy dalam siri One Piece tidak pernah membunuh musuhnya walaupun penjahat itu begitu kejam dan telah membunuh begitu ramai orang. Perkara ini menyebabkan adakalanya musuh lamanya muncul semula. Begitu juga dengan Son Goku dalam siri Dragon Ball, dia selalunya hanya menewaskan musuhnya dan tidak membunuh mereka. Ada juga yang kemudiannya menjadi rakannya seperti Pikor & Bezita.
Ciri 5: Hero & Heroin Kenal Sejak Kecil

Dua watak detektif Jepun, Hajime Kindaichi (Penyiasat Remaja) dan Shinichi Kudo (Detektif Conan) mengenali heroin mereka iaitu Miyuki Nanase dan Ran Mouri sejak dari kecil lagi. Tugas heroin juga lebih kurang, membebel kepada hero dan mengingatkan mereka agar tidak terburu-buru melakukan sesuatu. Kisah cinta mereka juga agak sama, walaupun pada mulanya mereka tidak mengakui ada sebarang perasaan, perhubungan mereka berubah daripada rakan biasa mereka menjadi pasangan kekasih. Shun Ukiya dan Ruriko Isukawa dalam Gate Keepers juga membawa kisah yang sama. Son Goku juga mengenali Chichi sejak dari kecil, tetapi kisah perhubungan mereka agak berbeza.
Ciri 6: Hero Kuat Makan

Ciri ini ada pada Naruto, Monkey D. Luffy dan Son Goku. Setelah menggunakan begitu banyak tenaga untuk berlawan, mereka makan dengan jumlah yang banyak untuk memulihkan tenaga mereka. Hero yang tidak berlawan secara fizikal juga kuat makan seperti Hajime Kindaichi dalam siri Penyiasat Remaja. Tidak tahulah mengapa ciri ini diadakan, mungkin sebagai efek komikal semata-mata atau mungkin juga untuk memperkenalkan makanan-makanan Jepun.
Baik, mari kita senaraikan hero-hero Jepun dan ciri-ciri yang mereka ada:
Son Goku - 1, 2 (ambil kira Bulma sebagai heroin), 3, 4, 5, 6.
Naruto - 1, 2, 3, 4, 5, & 6.
Monkey D. Luffy - 1, 3, 4, & 6.
Filed under Fantasi, Fiksyen Sains, Jepun | Comments (4)Formula Hero Jepun
Di Jepun, ada begitu banyak siri-siri komik dan animasi diterbitkan saban tahun. Pelbagai topik yang diketengahkan seperti sukan, makhluk asing, angkasa lepas, mecha, drama sekolah hinggalah kepada tukang masak. Namun begitu, siri-siri yang berjaya nampaknya mempunyai formula tertentu.
Formula Hero Jepun ini melihat kepada persamaan antara watak-watak dalam siri-siri anime popular. Tidaklah semua hero mempunyai kesemua ciri yang dinyatakan tetapi cuma berbeza di beberapa ciri. Tidak lupa juga melihat kepada ciri-ciri heroin. Kadang-kala sudah semacam cliche pula! Apa pun, saya percaya ada sesuatu yang kita dapat belajar daripada ‘formula’ mereka ini.

Ciri 1: Lemah Dalam Bidang Akademik & Pengetahuan
Ciri klasik ini terdapat pada Nobita dari siri Doraemon, selalu sangatlah dia mendapat markah kosong dalam ujian. Watak Naruto juga lemah dalam bidang akademik, sehinggakan dia masih tidak melepasi ujian kelayakan ninja walaupun rakan-rakannya sudah mencapai tahap jurulatih. Hero siri Pokemon, Ash Ketchum juga dipaparkan sebagai lemah dalam beberapa perkara asas yang perlu diketahui oleh pelatih Pokemon seperti jenis serangan apa yang perlu digunakan. Gary, antagonis siri ini dipaparkan sebagai lebih bijak dan mahir dalam mengendalikan Pokemon.
Ciri 2: Heroin Merupakan Seorang Yang Pintar
Untuk mengimbangi kekurangan hero, heroin dijadikan lebih pandai. Watak Sakura dalam siri Naruto selalu menerangkan perkara-perkara teknikal dan memberi tunjuk ajar kepada Naruto. Perkara asas seperti mengawal ‘chakra’ sekalipun heroin ini terangkan. Begitu juga dengan Misty dalam siri Pokemon yang selalu meleter kepada Ash Ketchum.
Boleh dikatakan ciri ini seperti sengaja dibuat oleh pencipta siri sebagai ‘plot dump’ untuk menerangkan tentang dunia serta backstory siri tersebut. Menurut J.K Rowling, kepintaran watak Hermione Granger juga membolehkan dia digunakan untuk menerangkan tentang dunia Harry Potter kepada pembaca dan penonton.
Ciri 3: Hero Bertindak Mengikut Naluri, Bakat & Kuasa Terpendam
Nobita memang seorang yang pengalah, namun apabila dia menjadi hero dia menggunakan bakatnya yang luar biasa terutamanya dalam bidang menembak. Dia tidak mendapat latihan formal dalam perkara ini namun kemahirannya setaraf dengan para penembak tepat.
Naruto pula mempunyai kuasa terpendam yang besar dalam dirinya sehingga mampu melakukan teknik-teknik yang setaraf dengan ninja-ninja agung seperti memanggil Gamabunta & teknik Taaji Kage Bunshin No Jutsu. Watak Kurosaki Ichigo dalam siri Bleach juga mempunyai ciri yang sama, tenaga yang besar dan teknik-teknik yang setaraf dengan ketua-ketua shinigami.
Nanti saya sambung lagi dalam entri akan datang!
Sai-Fai dan Cinta: Voices of a Distant Star

Mikako (berdiri) dan Noboru
Sai-Fai dan cinta? Berapa banyak karya sai-fai yang mempunyai cinta sebagai tema utama? Siri Stargate sudah tentunya terkeluar, lebih kepada ekspedisi militer dan saintifik sahaja. Star Trek pun tidak jauh berbeza.
Star Wars pula mengambil pertembungan baik lawan jahat sebagai tema teras, namun masih mempunyai cinta sebagai tema sampingan. Cinta terlarang Anakin SKywalker & Padme Amidala, ‘cinta tiga segi’ antara Luke Skywalker, Leia Organa & Hans Solo.
Setakat ini, hanya satu karya sai-fai yang mantap menyampaikan tema cinta dan perhubungan sebagai tema utama. Voices of a Distant Star karya Makoto Shinkai mengisahkan perhubungan jarak jauh antara Mikako dan Noburu. Mereka terpisah kerana Mikako ditugaskan menjadi jurupandu mecha Tentera Angkasa United Nations.

Dalam filem pendek, elemen-elemen fiksyen sains seperti hyperspace dan pengembaraan angkasa digunakan untuk menegaskan bagaimana terpisahnya Mikako dan Noboru. Hanya emel melalui telefon bimbit menjadi penghubung antara mereka berdua.
Sungguhpun begitu, wacana sains tidak dikesampingkan. Filem ini memaparkan bagaimana faktor jarak di angkasa lepas akan mempengaruhi telekomunikasi. Evolusi manusia turut dibincangkan dalam filem ini dalam konteks bagaimana serangan daripada makhluk asing memacu evolusi manusia. Semacam ada tempias Ender’s Game karya Orson Scott Card juga.
Dalam masa tayangan 24 minit sahaja, Makoto Shinkai berjaya menyampaikan cerita yang menarik dan wacana yang bermakna. Beliau dianugerahkan The Highest Award (Public Offering Category) di Tokyo International Animation Fair 2002. Lebih mengagumkan lagi, keseluruhan proses penciptaan filem ini dibuat sendiri oleh Makoto Shinkai menggunakan komputer Macintosh beliau sahaja! Lakonan suara pula disumbangkan oleh beliau sendiri dan tunangnya (kini isterinya) manakala rakannya Tenmon menyumbangkan muzik.
Tabik spring!
Filed under Animasi, Fiksyen Sains, Filem, Jepun | Comments (5)Umur Watak: Statik VS Dinamik
Apabila menghasilkan karya bersiri pengarang perlu menentukan tempoh masa yang diambil dan perkembangan umur watak-watak. Terdapat siri di mana watak-wataknya kekal pada umur yang sama dan ada pula siri yang wataknya meningkat umurnya siri demi siri.

Watak Nobita dalam siri Doraemon kekal pada darjah empat pada keseluruhan 1,344 episod asal. Siri novel kanak-kanak lelaki Alex Rider pula kekal pada umur 14 tahun. Siri Harry Potter pula menunjukkan pertambahan umur siri demi siri, begitu juga dengan Star Wars. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri.
Pendekatan umur watak yang statik nampaknya lebih popular di kalangan siri animasi kanak-kanak. Teknik ini membolehkan begitu banyak siri dihasilkan tanpa mempedulikan kepada perkembangan watak sangat. Episod-episodnya boleh berdiri sendiri tanpa bergantung kepada episod-episod sebelumnya.

Namun begitu, siri yang menggunakan teknik ini selalunya tidak diadaptasi menjadi siri filem. Masakan tidak, umur pelakon akan bertambah tetapi umur wataknya kekal begitu. Lebih-lebih lagi kalau watak itu adalah kanak-kanak atau remaja. Namun begitu, novel pertama Alex Rider telah diadaptasi menjadi filem. Saya ternanti-nanti bagaimana mereka menguruskannya untuk novel kedua pula.
Dalam siri-siri membenarkan umur wataknya bertambah pembaca dapat melihat watak-watak itu membesar dan semakin matang. Adaptasi filem Harry Potter adalah contoh baik dalam perkara ini. Kita dapat melihat bagaimana pelakon-pelakon yang membawa watak itu membesar seiring dengan cerita tersebut.
Harry Potter bernasib baik kerana mendapat sambutan hangat dan dapat difilemkan tahun demi tahun. Bagaimana pula kalau terhenti di tengah jalan? Jika ditinggalkan terlalu lama tentunya perlu mencari pelakon lain pula. Star Wars Episod I-III mengelakkan masalah ini dengan melakukan lompatan umur yang signifikan antara Episod I dan II. Antara Episod II dan III pula umur wataknya sudah agak stabil dan tidak sukar bagi pelakon yang sama mengambil wataknya.
Star Wars Episod IV-VI pula meletakkan umur wataknya di mana sesorang itu tidak akan banyak membesar lagi. Oleh itu, tidak sukar untuk menggunakan pelakon yang sama walaupun sela masa antaranya adalah agak jauh. Solekan sudah cukup untuk memberi kesan umur yang diperlukan.
Filed under Animasi, Jepun, Komik, Konsep, UK | Comments (2)


