Sai-Fai Melayu Berangan Sahaja?

May 5th, 2009
From Minikon Sai-Fai

Semasa Minikon & Forum Sai-Fai Malaysia yang berlangsung sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur telah datang satu soalan yang dikira agak kurang beradab. Saya katakan kurang beradab kerana seorang hamba Allah telah melemparkan kata-kata bahawa Sai-Fai Melayu tidak ada arah dalam ideologi dan nilainya. Walhal sepanjang forum berlangsung isu nilai dan ideologi itu sering muncul.

Apakah benar Sai-Fai Melayu (yang juga Muslim) tidak ada nilai dan ideologi? Terus-terang saya mengatakan itu satu dakwaan yang tidak adil sama sekali.

1. Sai-Fai Barat mempunyai kecenderungan untuk membuang Tuhan dan percaya kepada kuasa manusia melalui sains semata-mata. Ini persoalan nilai akidah yang paling penting disangkal oleh Sai-Fai Melayu. Sai-Fai Melayu senantiasa meletakkan bahawa walau seampuh mana sains & teknologi yang dikuasai manusia, hanya izin Tuhan yang membenarkannya berlaku. Aspek kesyukuran terhadap penguasaan sains & teknologi juga diterapkan dalam Sai-Fai Melayu.

2. Sai-Fai Melayu juga memupuk sifat yakin diri bahawa kita mampu menguasai sains & teknologi. Tulisan-tulisan itu adakalanya menjadi self-fulfilling prophecy. Contoh terbaik adalah telahan Dr. Rahmat Haroun Hashim bahawa seorang doktor akan menjadi angkasawan pertama Malaysia.

3. Selain daripada sifat percaya diri, Sai-Fai Melayu juga memberi panduan tentang apa yang perlu dilakukan dengan sains & teknologi. Sebagai contoh, Galaksi Muhsinin karya Azrul Jaini menunjukkan bahawa penguasaan teknologi force field shield haruslah digunakan untuk melindungi rakyat dan sekutu dalam misi rahmatan-lil-alamin.

4. Persoalan etika juga dibawa dalam Sai-Fai Melayu, terutamanya tentang soal eksperimen. Misalnya Transgenesis karya Amir Husaini membahaskan tentang etika menggabungkan genetik manusia dengan haiwan. Lebih menarik, subjek yang dihasilkan itu tidak mengakui itu tidak mengakui bahawa dia adalah ciptaan manusia tetapi tetaplah hamba Allah jua.

5. Isu halal-haram juga dibahaskan dalam Sai-Fai Melayu seperti isu daging sintetik yang diselitkan dalam Manuklon karya Dr. Rahmat Haroun Hashim. Adakah halal daging lembu sintetik yang digabungkan dengan gen babi untuk meningkatkan hasilnya? Daging sintetik adalah kajian yang sedang berlangsung sekarang dan mungkin memasuki pasaran 5-10 tahun lagi.

6. Nilai-nilai kekeluargaan juga diangkat melalui Sai-Fai Melayu seperti cerpen Virus Zel Untuk Abah karya Mawar Shafei. Cerpen ini menunjukkan bahawa seseorang itu tidak harus berdendam walau sengketa telah menyebabkan ahli keluarga tidak sehaluan lagi.

Nah, inilah bukti-bukti bahawa Sai-fai Melayu bukanlah sedangkal yang disangka. Ini baru sebahagian sahaja, banyak lagi perkara yang dikupas dalam Sai-Fai Melayu yang sebenarnya sangat relevan dengan perjuangan agama dan bangsa.

Repositori Artikel

January 14th, 2009

scribd

Sekarang, semua artikel dan cerpen saya boleh dibaca di http://www.scribd.com/people/view/6395443-firdaus-ariff . Saya fikir, Scribd.com ini memudahkan pengurusan dokumen dan bertindak sebagai backup juga. Tambahan pula, pembaca tidak perlu download untuk membaca kerana adanya sistem viewer.

Apa lagi rakan-rakan penulis? Uploadlah karya anda yang lalu ke scribd.com!

Festival Filem Pendek MASKARA

November 3rd, 2008

Pada 1 November 2008, Rumah PENA digegarkan lagi dengan gerombolan peminat seni. Kali ini pengunjung yang hadir melimpah-ruah dan tayangan dibuat di luar rumah. Sekitar 20 filem pendek telah ditayangkan tanpa sebarang penerangan daripada para pengarah - penonton perlu buat interpertasi sendiri.

Filem pendek yang ditayangkan pelbagai ragam dan pelbagai genre - aksi, drama, komedi, parodi, surreal dan fiksyen sains. Ada yang seni untuk seni, seni untuk masyarakat dan seni untuk diri sendiri. 

Bagi saya sendiri, filem-filem pendek yang menarik perhatian adalah yang membawa komentar sosial sebagai mesejnya. Antaranya adalah Surat Seorang Ibu karya Saiful Nang, Grip Phone karya Tok Rimau, Lost Communication, Sebuah Karangan Bertajuk Kuala Lumpur, dan Melayu 106 oleh Mamat Khalid.

Jika ada undian untuk filem terbaik MASKARA Shorties, tentu sekali saya akan mengundi Surat Seorang Ibu kerana sinerginya antara seni dan mesej. Ceritanya ringkas, mesejnya relevan dan ditambah pula dengan sinematografi yang hebat. Mamat Khalid sendiri bertanya, “Siapa yang buat cerita Yasmin Ahmad tu?” semasa menunggu semua pengarah berkumpul di dalam Rumah PENA.

Apabila diperhatikan filem-filem pendek itu, ternyata cerita yang kuat mempunyai persamaan dengan ciri-ciri cerpen. Jumlah watak antara 1-3, hanya 1-2 latar tempat dan 1 tema. Ringkas dan padat.

Album foto MASKARA Shorties boleh dilihat di sini.

Sudah Online: Cerpen Putaran Masa

October 29th, 2008

Cerpen Putaran Masa yang tersiar dalam Dewan Kosmik Oktober 2008 kini sudah dimuatkan di blog ini.

Cerpen Terbaru di Dewan Kosmik

October 8th, 2008

  Alhamdulillah, setelah hampir setahun cerpen saya tersiar sekali lagi di Dewan Kosmik. Cerpen ini adalah yang paling cepat ditulis iaitu dalam masa sejam lebih sahaja tetapi mengambil masa paling lama untuk diterbitkan iaitu enam bulan. Kata editor pada masa itu telah bersusun cerpen-cerpen lain maka saya tunggu sahajalah. Biasalah penulis perlu tunggu giliran. :)

Kali ini, tajuknya adalah ‘Putaran Masa’ - sebuah cerpen fiksyen sains tentang merentas masa dan privasi data beserta kritik sosial.

Krang! Berderai bunyi kaca akibat dihentam tubuh Proto. Tetapi dia tidak terkesan sedikit pun sebaliknya berpusing untuk menyambut ketuanya. Senjata pula sudah disimpan di dalam jaket.

 

Keluar sahaja dari portal masa, Johan terus bertanya. “Kita di mana?”

“Plaza Pantai, tahun 2008. Sasaran kita sudah berlari ke arah stesen LRT.”

Johan sekadar angguk sedikit lalu kembali menjejak buruan mereka. Proto membiarkan ketuanya bergerak terlebih dahulu, dia mengambil masa satu minit untuk mengemaskini peta dalam paparan implan retinanya.

Untuk baca lebih lanjut, sila dapatkan Dewan Kosmik keluaran Oktober!

Update: DBP begitu pantas menghantar cek royalti, baru sahaja dapat! (9/10)