Teori Surah Yusuf dan Media

August 29th, 2008

“Mengapa perlu mengikut Teori dan Teknik Surah Yusuf yang melarang daripada menceritakan perkara-perkara yang buruk secara terperinci? Bukankah kebejatan dalam masyarakat itu satu realiti?”

Saya terdiam sebentar sebelum menjawab, “Bukankah dalam media kita sekarang sudah terlalu banyak cerita-cerita yang kurang murni mengapa pula kita perlu mengikut sama?”

Dia seakan menerima jawapan saya, “Hmm, betul juga.”

Tetapi, saya sedar balasan itu semacam retorik dan saya perlu mengemukakan alasan yang lebih kukuh. Alasan itu sudah bersarang dalam minda tetapi tidak ketemu ayat dan hujah untuk membentuknya dengan baik.

Alhamdulillah, buku Introducing Media Studies memberi kerangka berguna dalam menyelesaikan hal ini. Kuncinya adalah melihat novel sebagai salah satu bahan media dan apa pengaruh serta impaknya kepada masyarakat.

Media mempersembahkan realiti melalui pelbagai kata-kata, bunyi dan imej. Tetapi, realiti itu adalah realiti yang telah dipilih dan diolah untuk tatapan audiens. Ini adalah serupa dengan proses setiap individu membina realiti sendiri dengan memberi makna kepada apa yang dirasa melalui deria. Media juga membina realiti dunia melalui olahan bahan media. Seorang ahli falsafah bernama Louis Pierre Althusser juga mengatakan bahawa media turut menghasilkan norma masyarakat.

Oleh kerana novel juga adalah sebahagian daripada media, maka novel juga mempunyai kuasa untuk mempengaruhi serta membina realiti dan persepsi audiens. Teori dan Teknik Surah Yusuf menekankan ciri-ciri ideal dan tidak sesekali memberi kemenangan moral kepada kejahatan. Dengan itu, novel yang ditulis dengan Teori dan Teknik Surah Yusuf menyumbang kepada realiti yang lebih baik.

Tetapi ini tidak bermakna bahawa novel yang ditulis mengikut Teori dan Teknik Surah Yusuf itu mempunyai pandangan yang naif. Dalam mencapai kemenangan, antagonis terpaksa menempuh pelbagai peristiwa malang dan menghadapi bilangan antagonis yang ramai. Dengan kata lain, kejahatan dan kebejatan itu diakui kewujudannya tetapi bukan itu yang diangkat kepada audiens.

Nah, ini juga bermakna bahawa para novelis juga adalah pengamal media. Besar tanggungjawabnya!

Cetusan Rasa

August 22nd, 2008

Ramai orang yang berkata bahawa menulis perlukan mood tersendiri dan tidak boleh dipaksa-paksa. Bagi saya, untuk penulisan novel dan cerpen mood bukanlah faktor utama. Tetapi lain pula ceritanya dengan penulisan puisi dan lirik. Hanya beberapa kerat puisi dan lirik sahaja pernah saya hasilkan kerana memerlukan satu keadaan emosi yang melampaui kebiasaan. Bila keadaan itu berlaku, pusi dan lirik itu akan siap dalam masa beberapa minit sahaja. Selepas itu tunggulah entah berapa bulan atau tahun lagi sebelum menghasilkan lirik yang berikutnya.

Hari ini saya berkongsi lirik pertama yang saya hasilkan 3 tahun dahulu semasa masih menuntut di Pusat Matrikulasi UIAM bertajuk Janji Setia. Bila difikirkan kembali, mungkin ini adalah antara perkara yang buatkan saya ‘melekat’ dengan kumpulan Madani walaupun saya seorang bukan pelajar SMKJ3.

Janji Setia

Telah terukir nan terpahat teguh
Janji setia bercita suci
Janji pada diri, keluarga dan Allah
Memulakan kembara dewasaku

Ku turuti nasihatmu ibu
Jua panduanmu oh ayah
Kan ku setia teguh janjiku
Demi mencapai cita teragung

Takkan ku berpaling dari cahaya
Walau sinar dunia mengaburi
Takkan ku endah onak duri
Jalan kebenaran tetap ku tempuhi

Sungguhpun sukar bagiku teguh
Kerna hawa nafsu mengaburi
Tetap ku setia tak mungkiri
Kerna janji itu bawa kebahagiaan

Kan ku pegang setia janjiku
Bersama harapan doa mereka
Bahagia dunia jua akhirat
Itulah matlamat mukmin sejati

Lirik: Muhammad Firdaus Ariff
Lagu: Sumieyami Salleh & Madani

Nota Kaki: Jika anda perlukan kumpulan nasyid untuk majlis berbuka puasa, sambutan hari raya, perkahwinan atau sebarang majlis yang bersesuaian sila hubungi saya di 013-2002705.

Selingan: Apa Itu Barat

July 22nd, 2008

Sebelum kita bicara lebih lanjut tentang mitologi dan nilai dalam fiksyen, ada baiknya kita definisikan apa itu Barat. Lebih tepat lagi, apa itu Tamadun Barat. Tamadun Barat merujuk kepada tradisi norma sosial, nilai, ritual, sistem kepercayaan, politik serta artifak dan teknologi tertentu.

Paksi utama Tamadun Barat adalah seperti berikut:

  • Falsafah & politik - Greek & Rom
  • Kepercayaan & agama - Judeo - Christian (Yahudi & Kristian)

Definisi ini penting kerana dalam dunia global sekarang, sempadan geografi sudah tiada maknanya. Contohnya; Pesta dansa di Malaysia itu Barat sedang Halaqah dan Usrah di UK itu bukannya Barat.

Salju Sakinah

May 16th, 2008

salju_sakinahl.jpegSalju Sakinah adalah antara novel terbitan PTS yang paling laris jualannya semasa di Pesta Buku KL baru-baru ini. Rak tempat novel ini diletakkan sentiasa dikerumuni orang ramai. Berdasarkan pemerhatian rambang, kebanyakan pembelinya adalah para pelajar sekolah agama dan universiti seperti UIA, KUIS, USIM serta yang sewaktu dengannya. Ya, lautan tudung labuh selalu sahaja menyerang rak novel cinta Islami PTS!

Sekali lagi Ustaz Zaid Akhtar mengekalkan wanita sebagai watak utama seperti novel Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus. Bezanya, berbanding dua novel sebelum ini Salju Sakinah turut menggunakan latar tempatan dengan meluas. Kali ini, Jordan dan Johor menjadi latar cerita cinta dan konflik sosial.

Bagi saya, novel ini sangat akrab dengan para pelajar universiti. Bukan kerana persoalan cintanya semata-mata tetapi tentang peranan mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat. Topiknya mungkin sudah lali kita dengar tetapi konflik sosial seperti hasad dengki, fitnah-memfitnah serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat masih lagi menjadi penyakit sebahagian masyarakat. Konflik sosial inilah yang menjadi perbincangan sepanjang novel ini.

Ketebalan novel ini telah memungkinkan Ustaz Zaid Akhtar melakarkan watak utamanya Sumayyah dengan lebih mendalam. Ini juga mendekatkan lagi watak Sumayyah dengan pembaca kerana tidak akan dirasakan heroin ini ’super’ namun hanya insan biasa seperti kita.

Secara keseluruhannya, tempo penceritaan novel ini memang selesa untuk pembaca. Tetapi, bagi sesiapa yang pernah membaca novel Ustaz Zaid Akhtar sebelum ini, plotnya boleh dianggap klise. Lebih mengganggu apabila plot klise itu diulang dua tiga kali sepanjang novel ini.

Kurang memuaskan hati apabila banyak konflik sosial dalam cerita ini diselesaikan secara deus ex machina yakni dengan intervensi dari Yang Maha Kuasa. Adalah lebih baik jika salah satu konflik sosial itu dapat diselesaikan dengan upaya watak-watak itu sendiri. Tentunya akan menebalkan lagi novel ini tetapi akan menjadikannya lebih bermakna. Kurang puas apabila persoalan konflik sosial itu berlegar begitu sahaja dalam minda.

Apapun, saya tabik Ustaz Zaid Akhtar kerana mempunyai kegigihan untuk menghasilkan karya ini secara novel bersiri dalam akhbar. Babak ‘pengantin salji’ itu juga sudah terbayang sebagai satu babak menarik andai karya ini difilemkan.

Teringat pula babak penamat Nanny McPhee, hehe.

Secara peribadi, novel ini akrab dengan saya kerana pemilihan latar Johor itu. Memang biasa saya berkunjung ke perusahaan kerepek seperti yang digambarkan dalam novel ini dan saya telah contoh usahawan yang berjaya. Tetapi sedikit bengang kerana kampung nenek saya digambarkan sebagai pusat ajaran sesat.

p/s: Ustaz Zaid, Pagoh bukan tempat jin bertendang tahu! ;)

Faedah Syariah-Compliance

May 14th, 2008

sayap2-s.jpgSemasa Sayap Adinila ditulis, saya dan Mat Jan mensasarkannya untuk golongan lewat remaja dan awal dewasa. Namun, bila ISBN dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara, buku Sayap Adinila mendapat kategori i) Fiksyen Sains & ii) Buku Kanak-kanak. Akibatnya, kebanyakan kedai buku akan meletakannya di rak buku kanak-kanak.

Tetapi, kerana buku itu tiada elemen-elemen yang tidak sesuai untuk kanak-kanak maka tiada masalah bagi mereka untuk menikmatinya. Tambah pula dengan jenama PTS yang memang dipercayai oleh ibu bapa. Setakat ini, respon teruja yang saya dapat adalah daripada kanak-kanak lelaki. Mereka juga telah bertanya bila sambungan Sayap Adinila akan keluar.

Seperkara lagi, penulis tidak akan segan dengan kaum keluarga dan guru-guru bila menulis novel yang syariah-compliance. Saya teringat membaca dedikasi dalam sebuah novel fantasi dari US, bunyinya lebih kurang begini - “Dedicated to my son, whom I hope will enjoy it when he’s mature enough.” Novel itu memang boleh dikategorikan sebagai 18SX & 18SG.

Pembaca yang lebih dewasa jangan risau, saya tidak akan ‘downgrade’ sambungan Sayap Adinila. Jika tidak, apa gunanya saya terbit di bawah PTS Fortuna!