MASKARA Shorties Dalam Forward
Syukur, tersiar sebuah lagi artikel di majalah Forward. Kali ini tentang MASKARA Shorties yang telah berlangsung pada 1 November lepas. Terima kasih banyak-banyak kepada Saiful Nang, Fazlina Hishamuddin, Tok RImau, dan Sindiket Sol-Jah kerana memberi input dalam pembikinan artikel ini.
Filed under Budaya, Majalah, Malaysia, Penulisan | Comments (3)Cari Ilham?
Bagi saya, ilham datang tidak kira masa dan tempat. Semasa menunggu lampu isyarat bertukar hijau pun boleh dapat idea, semasa membaca dan menonton apatah lagi. Pendek kata, ilham tidak jauh.
Apa yang dicari sebenarnya adalah suasana yang kondusif untuk menulis, untuk menitipkan ilham-ilham itu dalam bentuk perkataan. Bila di rumah, berada di depan komputer bermakna menerawang di alam siber atau berfantasi dengan game. Tidak teringat untuk buka Microsoft Word pun!
Mungkin kerana di rumah (lebih-lebih lagi di bilik tidur), tidak terasa seperti bekerja. Oleh itu, saya mencuba untuk keluar dan menulis di kafe. Biasanya saya akan menghabiskan masa 2-3 jam atau selama mana bateri laptop bertahan. Alhamdulillah, hasilnya konsisten.
Teringat kata-kata Tuan Osman Affan bahawa untuk melakukan sesuatu kerja, tetapkan masa dan matlamatnya. Dengan itu, barulah kita akan bekerja dengan efisien. Kelas Pengurusan Projek IT semester ini juga mengajar bahawa tugas akan ‘mengembang’ mengikut masa yang diberikan (Parkinson’s Law).
Cuti ini, Teluk Chempedak menjadi pilihan. Tambah pula novel kali ini memang akrab dengan lautan, maka memang timbul rasa lancar menulis. Jika anda perhatikan gambar di atas, ada kucing yang sibuk datang mengendeng. Itu pun membantu saya menghidupkan watak kucing dalam novel!
Anime & Bahasa
Salah satu ciri mazhab penulisan Surah Yusuf adalah menggunakan ‘native language’ sepenuhnya sepanjang cerita. Walaupun Surah Yusuf menceritakan tentang watak-watak yang asalnya berbahasa Hebrew, kesemua dialog diterjemahkan kepada Bahasa Arab.
Setelah menonton begitu banyak anime (usah tanya berapa), ternyata kesemuanya menggunakan Bahasa Jepun sepenuhnya walaupun cerita itu settingnya adalah Britain era Victoria, Jepun feudal, Timur Tengah zaman sekarang atau planet yang jauh di masa hadapan.
Tetapi, contoh yang paling ekstrem adalah siri Code Geass yang merupakan fiksyen sains ‘alternate history’. Dalam dunia Code Geass, Britain menjadi Empayar Britannia dan menjajah Jepun untuk mendapatkan bahan galian fiksi yang digelar sakuradite. Penjajahan tidak terhad kepada penjajahan fizikal malah membuang semua budaya dan identiti Jepun.
Nama negara Jepun juga diharamkan dan dikenali sebagai Area 11 sahaja. Oleh itu, orang-orang Jepun dikenali sebagai Eleven sahaja. Oleh itu, tentunya Nihon-go atau Bahasa Jepun dihapuskan bersama. Tetapi, Code Geass tetap menggunakan Bahasa Jepun sepenuhnya walaupun bagi watak penjajah dari Brittania!
Filed under Animasi, Asia, Budaya, Fiksyen Sains, Jepun, Sejarah | Comment (1)Penulis Fiksyen Sains Jadi Motivator?
Kerana ramai penulis di PTS dipanggil berceramah, maka penulis fiksyen sains perlu ada modal berceramah juga. Setakat ini, baru sekali saya bercerita tentang ‘Inspirasi Fiksyen Sains’ iaitu di UMP. Intipatinya? Melihat sains dan matematik di luar bilik darjah dan kuliah, iaitu bagaimana inovasi sains dapat memberi manfaat kepada manusia.
Banyak contoh ciptaan yang dahulunya dipaparkan dalam fiksyen sains kini menjadi kenyataan. Contohnya tangan robotik dalam Star Wars dan kereta yang boleh menyelam yang dipaparkan dalam filem James Bond from Russia With Love. Setakat telefon jam tangan Dick Tracy, itu bukan lagi mimpi. Malah, ia produk yang gagal kerana kurang praktikal.
Filed under Fiksyen Sains, Malaysia | Comments (2)MS Gundam 00: Anime Sai-Fai Pasca 9/11
Siang tadi saya pergi berjumpa Wan Rausyanfikir, pemuda yang aktif menulis di majalah Milenia. Kerana saya pernah dan akan menulis lagi untuk Milenia, kiranya kami rakan semajalah juga. Bincang punya bincang, dia tanya apa yang saya nampak dalam fiksyen sains. Saya jawab banyak karya fiksyen sains membawa kritikan sosial dan politik sebenarnya. Sebagai contoh, MS Gundam 00 membawa isu-isu kontemporari yang amat relevan dalam dunia penuh bergolak kini.
Pertama sekali, konflik berkisar kepada monopoli sumber tenaga iaitu tenaga solar daripada stesen angkasa lepas. Kuasa-kuasa besar menggunakan kuasa yang bersih dan tidak terbatas ini untuk memeras negara-negara lain terutamanya yang selama ini bergantung kepada eksport minyak.
MS Gundam 00 juga membawa penonton melihat ‘keganasan’ daripada perspektif mereka yang melihatnya sebagai gerakan ‘pembebasan’. Sungguhpun berlatarkan bumi 300 tahun akan datang Ireland Utara, Sri Lanka, Amerika Latin dan Timur Tengah masih lagi bergolak. Bunyinya memang tidak masuk akal tetapi apabila difikirkan bahawa Bangsa Moro di Mindanao telah berjuang hampir 500 tahun, skrip itu nampaknya rasional.
Siri ini juga nampaknya secara langsung mengutuk tindakan unilateral Amerika Syarikat dalam ‘perang terhadap keganasan’ terutamanya prinsip ‘anda bersama kami atau anda bersama teroris’ serta tindakan menangkap siapa sahaja yang pernah berhubungan dengan teroris. Malah, penjara untuk para teroris juga digmbarkan terletak di teluk - sama seperti Guantanamo.
Menariknya, MS Gundam 00 juga telah menjangka bahawa seorang African-American akan menerajui Amerika Syarikat. Dengan kemenangan Obama, nampaknya telahan mereka itu tepat. Cuma mereka bersifat skeptikal dengan menggambarkan presiden ini tiada bezanya dengan Bush. Tentang Obama pula, kita tunggu dan lihat sahajalah.
Filed under Fiksyen Sains, Jepun, Politik, Robot, US | Comments (6)









