Teori Surah Yusuf dan Media
“Mengapa perlu mengikut Teori dan Teknik Surah Yusuf yang melarang daripada menceritakan perkara-perkara yang buruk secara terperinci? Bukankah kebejatan dalam masyarakat itu satu realiti?”
Saya terdiam sebentar sebelum menjawab, “Bukankah dalam media kita sekarang sudah terlalu banyak cerita-cerita yang kurang murni mengapa pula kita perlu mengikut sama?”
Dia seakan menerima jawapan saya, “Hmm, betul juga.”
Tetapi, saya sedar balasan itu semacam retorik dan saya perlu mengemukakan alasan yang lebih kukuh. Alasan itu sudah bersarang dalam minda tetapi tidak ketemu ayat dan hujah untuk membentuknya dengan baik.
Alhamdulillah, buku Introducing Media Studies memberi kerangka berguna dalam menyelesaikan hal ini. Kuncinya adalah melihat novel sebagai salah satu bahan media dan apa pengaruh serta impaknya kepada masyarakat.
Media mempersembahkan realiti melalui pelbagai kata-kata, bunyi dan imej. Tetapi, realiti itu adalah realiti yang telah dipilih dan diolah untuk tatapan audiens. Ini adalah serupa dengan proses setiap individu membina realiti sendiri dengan memberi makna kepada apa yang dirasa melalui deria. Media juga membina realiti dunia melalui olahan bahan media. Seorang ahli falsafah bernama Louis Pierre Althusser juga mengatakan bahawa media turut menghasilkan norma masyarakat.
Oleh kerana novel juga adalah sebahagian daripada media, maka novel juga mempunyai kuasa untuk mempengaruhi serta membina realiti dan persepsi audiens. Teori dan Teknik Surah Yusuf menekankan ciri-ciri ideal dan tidak sesekali memberi kemenangan moral kepada kejahatan. Dengan itu, novel yang ditulis dengan Teori dan Teknik Surah Yusuf menyumbang kepada realiti yang lebih baik.
Tetapi ini tidak bermakna bahawa novel yang ditulis mengikut Teori dan Teknik Surah Yusuf itu mempunyai pandangan yang naif. Dalam mencapai kemenangan, antagonis terpaksa menempuh pelbagai peristiwa malang dan menghadapi bilangan antagonis yang ramai. Dengan kata lain, kejahatan dan kebejatan itu diakui kewujudannya tetapi bukan itu yang diangkat kepada audiens.
Nah, ini juga bermakna bahawa para novelis juga adalah pengamal media. Besar tanggungjawabnya!
Filed under Agama, Budaya, Konsep |3 Responses to “Teori Surah Yusuf dan Media”
Leave a Reply




ye.. sy sokong.
sesungguhnya penulisan novel juga boleh mempengaruhi masyarakat.. masih ingat karya SHIT suatu masa dulu?
Ya, siapa tak ingat SHIT. Itu novel satira politik paling kontroversi dalam sejarah, haha.
Assalam a’laykum wrt,
Media membina persepsi audiens, justeru penulis mesti bertanggungjawab terhadap apa yang di tulisnya. Jika persepsi yang terbina adalah positif, maka itu sangat digalakkan. Jika sebaliknya, maka pada pendapat saya kita mendapat saham dosa diatas kebejatan yang terhasil akibat dari buah fikiran kita itu. Justeru, sebelum menulis, kita perlu menjernihkan hati dan membetulkan niat kita hanya untuk Allah semata-mata.
Ingat, seorang penulis itu bisa menjadi agen mengubah ataupun merosakkan masyarakat. Tepuk dada tanyalah iman, Wallahu a’lam
Ariff