Ulasan Sayap Adinila

August 25th, 2008

Kali ini, Anis Sarah pula menulis ulasan tentang Sayap Adinila. Sesungguhnya saya memang ingin tahu apa pendapat pembaca wanita tentang fiksyen sains Melayu. Terima kasih banyak-banyak atas maklumbalas!

Walaupun novel ini telah berada dalam rak buku saya sejak pertengahan Februari lalu, namun baru kini saya pembacaan saya selesai. Terima kasih pada penulisnya, sdr Firdaus Ariff kerana mengirimkan novel sulungnya ini dengan autograf.

Fiksyen sains ini membawa pembacanya ke sebuah dunia alternatif sekitar kurun ke-15 yang bertempat di sekitar Empayar Nilam. Kisah bermula dengan serangan Kerajaan Angkor ke atas Qadaha, salah satu wilayah di Empayar Nilam. Setelah menawan Gabenor wilayah itu, Empayar Nilam dipaksa memenuhi permintaan Kerajaan Angkor, iaitu ciptaan si genius Adinila yang disembunyikan selepas legenda pertempurannya dengan Von Noir seabad yang lalu. Perjalanan novel kemudian tertumpu pada usaha Pasukan Harimau Nilam mengesan jejak ciptaan Adinila, yang akhirnya ditemui di Kota Lama, sebelum menyelamatkan Engku Rahman yang menjadi tebusan Panglima Gaa Lee.

Menariknya novel ini, penggunaan teknologi kristal dalam dunia itu diterangkan dengan lebih terperinci, logik dan berkesan dalam penggunaan senjata, telekomunikasi, pengangkutan, perubatan dll [Entah kenapa, unsur-unsur kristal seringkali digunakan dalam fiksyen sains lain yang saya pernah baca]. Penerangan lain tentang dunia di sekitar Empayar Nilam, kerajaan dan sejarahnya menyediakan pembaca untuk siri novel seterusnya. Watak-watak utama menggerakkan cerita dengan baik, namun adakalanya masih kurang menyentuh emosi dalaman, hanya secara permukaan sahaja. Deskripsi babak-babak pertempuran menghiasi kisah seperti dalam komik pertarungan, dan tidak kurang juga kisah perasaan antara Tengku Arafiah dengan Lim yang disisipkan seketika di kala Empayar Nilam sedang rumit menghadapi ancaman musuhnya. Bahagian cerita sewaktu mereka mencari dan menemui ‘sepasang sayap’ ciptaan Adinila antara yang menarik saya untuk menekuni novel ini hingga ke akhir, walaupun tanpa illustrasi lakaran kapal udara yang menjadi inspirasi penulisnya.

Lebih penting lagi, fiksyen sains di dalamnya tidak terlalu kebaratan. Apatah lagi imbas anime Jepun selintas terkesan pada kehadiran watak Pusaran dan Baron (sesiapa yang sering mendekati anime Jepun pasti mudah meneka watak itu). Ada beberapa persoalan lain yang sengaja ditinggalkan penulisnya untuk dijawab dalam siri seterusnya, seperti siapakah pembunuh Raja See Khao, atau siapakah askar misteri yang ditemui Hamzah?

Sebagai pembaca, saya kira ini fiksyen sains Malaysia yang harus dimiliki. Kepada penulisnya, syabas dengan kehadiran novel sulung ini (harap saya tak terlewat). Dah tentu saya tak sabar ingin membaca sambungan siri ini. Mengingatkan saya pada Siri Saga Artakusiad karya Ahmad Patria Abdullah (ternanti-nanti karya terbaru beliau). Apapun, sedikit kesalahan ejaan di dalamnya sedikit menganggu bacaan saya yang suka menggaris perkataan. Pendapat saya, tak perlu lampiran tentang watak di hujung novel kerana lebih menarik jika diterangkan dalam bentuk penceritaan. Mungkin sekeping peta dan illustrasi kapal juga senjata dapat membantu menghayati Saga Empayar Kristal ini dengan lebih berkesan.


2 Responses to “Ulasan Sayap Adinila”

  1. myadlan on August 26, 2008 2:35 am

    wah.. tp kalo download mbook tu, xdpt la versi yg ko da autograf kn.. hehe

  2. Firdaus on August 26, 2008 10:43 am

    Kalau kau download mBook, aku autograf pada telefon kau. Haha

Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply

Name (required)

Email (required)

Website

Speak your mind