Star Wars Episode 2.5?

“Clone Wars? Ini Star Wars episod yang mana? Bukan Episod II dahulu tentang klon juga?”
“Ini filem CGI Star Wars, ceritanya antara Episode II: Attack of the Clones dan Episod III: Revenge of the Sith.”
“Oh, begitu. Kiranyanya ni Star Wars 2.5 begitu?”
Saya menjawab sambil tertawa, “Begitulah, senang kira.”
Itulah dialog yang terbit apabila saya mengajak beberapa rakan penulis untuk menonton Clone Wars. Asalanya saya mengajak Syarafuddin, tetapi dia kurang sihat maka Azree Hanifiah pula menjadi ganti. Kebetulan dia juga sudah lama tidak menonton wayang.
Berbalik kepada ulasan The Clone Wars yang dijanjikan pengarah filem bahawa penonton akan melihat Star Wars dalam perspektif baru. Maka, kita kaji dari sudut ini dahulu.
Transisi dari live-action kepada 3D CGI adalah baik dan masih mengekalkan ‘feel’ siri yang asal. Walaupun menggunakan pelakon suara yang berbeza, Anakin & Obi-Wan kekal dengan perawakan yang sama.
Beberapa watak baru turut diperkenalkan terutamanya keluarga Jabba the Hutt seperti pakciknya Ziro dan anaknya ‘Stinky’. Mereka memainkan peranan penting dalam plot filem ini. Clone Troopers juga tampil sedikit lebih individual dengan watak seperti Captain Rex dan Oddball.
Aksi-aksi pertempuran juga dipersembahkan dengan cemerlang dan memang padat di sepanjang cerita. Banyak aksi lawan lightsaber satu lawan satu antara Sith dan Jedi di samping aksi gempur tahap batallion. Beberapa misi ala komando juga diselitkan dalam cerita ini. Pendek kata, tidak pernah kurang aksi dalam filem ini!
Tetapi, aspek emosi dan drama adalah kurang dalam filem ini. Dalam temuramah di laman web rasmi Star Wars, beliau menyatakan bahawa hasratnya adalah menyuntik aspek individu kepada Clone Troopers serta meningkatkan empati terhadap mereka. Kata beliau lagi, penonton tidak seharusnya melihat Clone Troopers seperti mesin yang boleh dibazirkan begitu sahaja. Penonton harus rasa sedih jika Clone Troopers itu mati.
Namun, ciri individual yang ditampilkan lebih bersifat kosmetik semata-mata seperti perbezaan warna uniform dan stail rambut. Tambah pula kebanyakan masa mereka memakai helmet maka tidak terasa mereka adalah individu yang berbeza. Malah, Droid Army mungkin lebih diingati dalam filem kerana lawak slapstick mereka yang membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang cerita.
Kesimpulannya? The Clone Wars adalah fliem hiburan untuk seisi keluarga tetapi mungkin kurang ‘keras’ untuk peminat tegar siri Star Wars.
Filed under Animasi, Fiksyen Sains, Filem, Robot, US |2 Responses to “Star Wars Episode 2.5?”
Leave a Reply




ala.. kamu sudah tengok ke..
tgh fikir ape cerita yg berbaloi untuk hujung minggu ni..
Hehe, tengok pada hari tayangan perdana memang kegemaranku. Tambahan pula tidak mahu bersesak-sesak menempuh gerombolan cuti sekolah!