Khazanah Angkor
Dalam rangka kembara ke Kemboja baru-baru ini, saya sempat juga melakukan sedikit sebanyak penyelidikan tentang sejarah Kerajaan Angkor. Sumber utama saya adalah buku The Treasures of Angkor tulisan Marilia Albanese yang saya beli di perkarangan Angkor Wat.
Dalam siri Saga Empayar Kristal, Kerajaan Angkor menjadi antagonis utama. Namun, saya belum cukup berpuas hati dengan penampilan Kerajaan Angkor dalam Sayap Adinila. Filem blockbuster ‘300′ pernah dikritik kerana tidak memberi perhatian yang secukupnya kepada pihak antagonis dan itu adalah kesilapan yang mahu dielakkan.
Setakat ini, pemilihan nama elemen-elemen Kerajaan Angkor dalam Sayap Adinila adalah betul. Tetapi, buku panduan ini menerangkan bahawa perkataan seperti Naga dan Garuda mempunyai konotasi yang berbeza dalam mitologi Angkor. Contohnya, Garuda tidak bermaksud burung yang besar tetapi bermaksud makhluk separuh manusia separuh burung. Mujur maksudnya tidak ditulis dalam buku pertama, maka dapat dibetulkan dalam novel kedua yang sedang ditulis dengan working title Pulau Azur.
Sikap kejam Kerajaan Angkor terhadap rakyatnya juga terakam dengan betul dalam Sayap Adinila dan saya bersyukur dengan ilham yang betul itu. Buku panduan ini juga memberi cadangan nama-nama yang lebih canggih dan mantap. Diharapkan bahawa novel kedua Saga Empayar Kristal akan membawa pembaca menelusuri sejarah dan mitologi Angkor dengan lebih dalam!
Filed under Asia, Novel, Penulisan, Sejarah | Comment (1)Inilah Hasilnya!
Setelah tiga hari dua malam berkampung di Cherating, akhirnya kami berjaya menghasilkan draf manuskrip Travelog Misi Kemanusiaan ke Kemboja. Setakat yang dicetak semalam, sudah ada 65 cerita dalam 90 halaman. Cerita-cerita tersebut akan ditambah lagi oleh beberapa rakan-rakan yang tidak dapat hadir ke bengkel ini, Insya-Allah. Syukur, berbaloi duit yang dilaburkan universiti untuk bengkel ini. Rektor juga sudah bertanya mana bukunya!
Filed under Budaya, Malaysia, Penulisan | Comments (4)Detektif Indigo Kembali
Semasa baru memulakan blog ini, saya ada mengulas tentang novel kedua siri Detektif Indigo iaitu Ikan Fugu, Lukisan, & Jimson. Kini, Detektif Indigo Kembali pula dengan wajah baru dan penerbit baru.
Secara asasnya, novel ini masih mengekalkan premis yang sama yakni sekumpulan remaja berbakat luar biasa yang belajar di sebuah kolej khas menyiasat kes-kes rumit. Rata-ratanya mempunyai tahap kepintaran yang tinggi dan beberapa orang daripada mereka mempunyai kebolehan psikik. Mereka yang digelar remaja indigo ini pula dibimbing dan dibiayai oleh OIC
Idea sebegini mungkin terlalu fantastik dalam keadaan dunia yang serba tidak menentu ini. Namun, saya lihat ini sebagai ‘counter-culture’ untuk mengikis tanggapan hanya orang-orang Barat dan bukan Islam mempunyai bakat luar biasa. Jika Barat menggunakan genre fiksyen sains sebagai alat propaganda, mengapa tidak kita?
Namun, untuk menjadikannya sebagai penggerak ‘counter-culture’ karya penulis Muslim perlu memenuhi keperluan pembaca dalam genre yang diceburi. Detektif Indigo jatuh dalam genre thriller / fiksyen sains dan untuk tujuan ulasan ini penilaian akan dibuat berdasarkan piawai genre tersebut.
Kes mereka kali ini adalah untuk menyiasat kehilangan Prof. Aslan, Setiausaha Agung OIC dan Dr. Recep Gul, Pengasas Akademi Indigo. Ya, memang kes yang besar dan membawa kumpulan detektif ini ke Arab Saudi dan Thailand. Tetapi, apabila melihat muka surat novel yang nipis itu saya mula ragu dengan perkembangan plot.
Permulaan kes agak baik dengan mendedahkan latar cerita dan watak, cukup jelas walaupun untuk pembaca baru siri ini. Suspens penculikan kedua-dua tokoh dan kegawatan suasana juga dicipta dengan mantap. Namun, saya sedikit terganggu dengan monolog berjela Prof. Aslan pada awalnya.
Tetapi, apabila penyiasatan mula berjalan plot mula menjadi kurang kemas. Para Detektif Indigo banyak bermain-main dan mebuat lawak sesama mereka dan tidak menumpukan kepada isu utama. Tambah pula adanya watak-watak baru, penyiasatan mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Trivia-trivia tidak relevan daripada Faruq pula mengambil ruang yang sepatutnya digunakan untuk menjadikan penyiasatan mereka lebih berwibawa.
Pengakhiran penyiasatan juga kurang memuaskan, seakan dipaksakan untuk tamat dengan sebab-musabab yang kurang kukuh. Tambah pula bab-bab hujung diselit pula dengan satu kes yang saya kira ‘tasteless‘ kerana membazirkan seorang pelajar Akademi Indigo dengan begitu sahaja.
Ya, dari segi wacana, ilmu dan nilai tiada salahnya dari penilaian penulisan Islami. Malah, memang nilai-nilai itu sangat perlu diisi dalam jiwa-jiwa muda. Namun, kelemahan penceritaan ini mengganggu penyampaian wacana dan nilai-nilai murninya.
Watak-watak yang dilakarkan memang berwarna-warni dan saya sungguh-sungguh berharap warna-warna itu digunakan dengan lebih baik pada siri akan datang. Harapan yang sama dari ulasan buku kedua saya ulang lagi dan kali ini saya pinta agar harapan ini dimakbulkan!
Baca: Ulasan bertentangan dari Rebecca Ilham
Filed under Agama, Fiksyen Sains, Malaysia, Novel | Comments (4)Menulis Travelog
LR19, Bangunan HS, UIAM - Sabtu 3 Mei 2008
“OK, kami sudah baca contoh travelog Okinawa & Sudan ini. Memang menarik dan hidup, tetapi bagaimana kami mahu menulis coretan sebegini?”
Saya tersenyum, “Itu mudah sahaja, pertama sekali fikirkan apa peristiwa yang paling anda suka semasa di Kemboja. Tuliskan tajuknya pada sehelai kertas.”
Cepat-cepat Nurwahida menjawab, “Baik, saya mahu tulis tentang Che Tik-tik.”
“Bagus, kemudian tuliskan rangka berikut. Rakan-rakan lain yang pun ikutlah sama menulis.”
T (Tajuk) - Cerita apa nak tulis. (Contoh: Che Tik-tik)
L (Latar) - Berlaku di mana, bila, siapa yang ada (Contoh: Masjid, pagi, Dr. Dinon, Wahid & budak yang disunat)
A (Aksi) - Apa yang berlaku? (Dr. Dinon sunatkan budak, Wahid tolong)
D (Dialog) - Apa yang dikatakan oleh watak-watak yang ada (Dr. Dinon: Che tik-tik atau che klang? Wahid gelak)
Setelah sepuluh minit, saya menyoal kembali. “Sudah siap? Setiap seorang bacakan rangka cerita.”
Satu demi satu rakan-rakan yang hadir menceritkan tentang rangka cerita mereka. Ada tentang budak bisu, budak tidak dapat bersunat, dan pelbagai cerita lagi.
“Sekarang, tulis cerita berdasarkan rangka itu. Satu muka surat A4!”
Mereka mengeluh, “Apa, tulis sekarangkah? Biar kami tulis di rumah sahaja, kemudian emel.”
Salah seorang rakan menokok, “Aku tidak berbakatlah, tatabahasa pun tunggang-langgang lagi.”
“Tulis sahajalah - tulisan yang kurang cantik boleh diedit, tapi tiada tulisan tidak dapat buat apa-apa. Cepat, kita perlu tunjuk hasil pada Puan Martinelli, dia sudah beri duit untuk kita belanja makan tengahari ini. Tidak baiklah kita makan percuma begitu sahaja.”
“Baiklah, kau yang mengajar itu pun tulis juga. Jangan asyik mengarah sahaja!”
Nota kaki: Terima kasih kepada Pn. Ainon & Prof. Umi Ngah yang memberi ilham mengadakan bengkel mini. Juga kepada Tuan Alang & MBA kerana menulis travelog yang sungguh menarik!
Filed under Penulisan, Travelog | Comments (8)Che Tik-Tik
Oleh: Nurwahida Jamaan - Kulliyyah of Medicine, IIUM

Dr. Dinon (Berbaju oren) & Wahida (Bertudung)
Setelah selesai menyuntik ubat, Dr Dinon meletakkan jarum biusnya di atas meja. Beliau kemudiannya memegang hujung kulit pesakit untuk menguji keberkesanan ubat terhadap pesakit.
“Che, ot che?”tanya Dr Dinon kepada pesakitnya.
“Che!”balas budak itu hampir menjerit sambil wajahnya berkerut memandang Dr Dinon.
“Che tik-tik atau che klang?” tanya Dr Dinon dengan lebih lanjut.
“Kalau che klang balik Klang jawabnya,”sambung Dr Dinon separuh melawak.
“Che tik,”jawab budak itu sambil memegang kain semutar miliknya. Matanya bergenang menahan sakit.
Aku yang pada mulanya sekadar memerhatikan perbualan dua warga yang berlainan bangsa dan bahasa itu tergelak. Geli hati mendengar Dr Dinon menukar perkataan ‘tik’ kepada gandaan dua , ‘tik-tik’ seperti dalam Bahasa Melayu. Padahal, orang Kemboja hanya menyebut ‘che tik’ bukannya ‘che tik-tik’.
Che – sakit
Ot – tidak
Tik – sikit
Tik-tik - sikit-sikit
Klang – sangat
Nota: Ini adalah sedutan daripada Travelog Kemboja yang sedang diusahakan pasukan CENSERVE UIA.
Filed under Agama, Budaya | Comment (0)






