Salju Sakinah
Salju Sakinah adalah antara novel terbitan PTS yang paling laris jualannya semasa di Pesta Buku KL baru-baru ini. Rak tempat novel ini diletakkan sentiasa dikerumuni orang ramai. Berdasarkan pemerhatian rambang, kebanyakan pembelinya adalah para pelajar sekolah agama dan universiti seperti UIA, KUIS, USIM serta yang sewaktu dengannya. Ya, lautan tudung labuh selalu sahaja menyerang rak novel cinta Islami PTS!
Sekali lagi Ustaz Zaid Akhtar mengekalkan wanita sebagai watak utama seperti novel Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus. Bezanya, berbanding dua novel sebelum ini Salju Sakinah turut menggunakan latar tempatan dengan meluas. Kali ini, Jordan dan Johor menjadi latar cerita cinta dan konflik sosial.
Bagi saya, novel ini sangat akrab dengan para pelajar universiti. Bukan kerana persoalan cintanya semata-mata tetapi tentang peranan mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat. Topiknya mungkin sudah lali kita dengar tetapi konflik sosial seperti hasad dengki, fitnah-memfitnah serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat masih lagi menjadi penyakit sebahagian masyarakat. Konflik sosial inilah yang menjadi perbincangan sepanjang novel ini.
Ketebalan novel ini telah memungkinkan Ustaz Zaid Akhtar melakarkan watak utamanya Sumayyah dengan lebih mendalam. Ini juga mendekatkan lagi watak Sumayyah dengan pembaca kerana tidak akan dirasakan heroin ini ’super’ namun hanya insan biasa seperti kita.
Secara keseluruhannya, tempo penceritaan novel ini memang selesa untuk pembaca. Tetapi, bagi sesiapa yang pernah membaca novel Ustaz Zaid Akhtar sebelum ini, plotnya boleh dianggap klise. Lebih mengganggu apabila plot klise itu diulang dua tiga kali sepanjang novel ini.
Kurang memuaskan hati apabila banyak konflik sosial dalam cerita ini diselesaikan secara deus ex machina yakni dengan intervensi dari Yang Maha Kuasa. Adalah lebih baik jika salah satu konflik sosial itu dapat diselesaikan dengan upaya watak-watak itu sendiri. Tentunya akan menebalkan lagi novel ini tetapi akan menjadikannya lebih bermakna. Kurang puas apabila persoalan konflik sosial itu berlegar begitu sahaja dalam minda.
Apapun, saya tabik Ustaz Zaid Akhtar kerana mempunyai kegigihan untuk menghasilkan karya ini secara novel bersiri dalam akhbar. Babak ‘pengantin salji’ itu juga sudah terbayang sebagai satu babak menarik andai karya ini difilemkan.
Teringat pula babak penamat Nanny McPhee, hehe.
Secara peribadi, novel ini akrab dengan saya kerana pemilihan latar Johor itu. Memang biasa saya berkunjung ke perusahaan kerepek seperti yang digambarkan dalam novel ini dan saya telah contoh usahawan yang berjaya. Tetapi sedikit bengang kerana kampung nenek saya digambarkan sebagai pusat ajaran sesat.
p/s: Ustaz Zaid, Pagoh bukan tempat jin bertendang tahu!
4 Responses to “Salju Sakinah”
Leave a Reply


Terima kasih di atas ulasan itu. Nampaknya selari dengan kempen PTS.
Bulan ini kami kempen novel Salju Sakinah. Juga ada diskaun 20 peratus bagi belian di http://www.bookcafe.com.my
Baca ulasan lain di http://novelpts.blogspot.com/
Insya-Allah semasa cuti sekolah ini, Ustaz Zaid akan ke udara di TV dan Radio. Pihak kami sedang berusaha. Tunggu….
Salam.
Terima kasih kerana sudi mengulas novel saya yang satu ini. Ia banyak memberi kesan dan menguji stamina penulisan saya sebenarnya. Apapun saya bersyukur sangat; lantaran kemurungan saya selama setahun tamat. Penantian saya untuk membukukannya juga sudah berakhir.
Pagoh tu luas , dik oii. Bukan kampung nenek awak aja ada di situ.
Hehe, saja mengusik Ustaz. Seingat saya, Pagoh memang ada sejarah gerakan ajaran sesat dan pernah disiarkan dalam akhbar lama dahulu.
Oh ya, kes ajaran sesat dalam Salju Sakinah tu macam kisah benar sahaja. Pernah dengar-dengar juga orang kampung bercerita tentang kes sebegitu.
Salam,
:)
Sudah membelinya di pesta buku tempoh hari tetapi masih dalam ‘que’ menunggu untuk dibaca kerana sekarang sedang membaca karbala
Tahniah uztaz! semoga kita semua dapat menaikkan lagi martabat buku dan penulisan di Malaysia setaraf atau lebih baik dari novel-novel antara bangsa!
wassalam