Pesta Khatan di Kemboja
Antara aktiviti utama kami semasa di Kampung Dam Sbai, Battambang, Kemboja adalah mengkhatankan kanak-kanak lelaki Islam di sana. Kami datang dengan dengan dua doktor - Dr. Ariff & Dr. Dinon serta dua pelajar kejururawatan dan seorang pelajar perubatan sebagai pembantu. Kos untuk berkhatan di Kemboja adalah sekitar RM30 hingga RM50 tetapi dengan pendapatan yang kecil keutamaan adalah untuk membeli makanan. Bayangkan, gaji polis hanyalah sekitar RM100-RM200.
Jadi, apabila mengetahui kami menawarkan khidmat khatan secara percuma maka ramailah yang datang. Suasananya semacam pesta kerana begitu ramai kanak-kanak yang datang. Ada yang datang dengan ibu bapa, ada juga yang datang sendiri atau bersama rakan-rakan. Kanak-kanak perempuan juga turut datang mengikut abang atau ibu bapa mereka.
Tempat berkhatan adalah di perkarangan masjid - cukup sekadar meja, kerusi dan tirai untuk dijadikan dewan bedah. Segala peralatan dan ubat-ubatan adalah dibawa dari Malaysia.
Pada hari pertama, kami tidak bersedia untuk menghadapi kehadiran begitu ramai peserta. Akibatnya, langsung tiada sistem giliran. Siap seorang dikhatankan, tiga lagi sudah melompat naik ke atas meja untuk berkhatan. Kata Dr. Dinon, “Aku tak peduli, siapa naik aku potong. Pandai-pandai kamu semualah hendak bagi siapa dulu berkhatan.”
Maka, terpulanglah kepada mereka berebut-rebut untuk bersunat. Syukur tidak timbul sebarang kekecohan atau pergaduhan. Anak-anak Kemboja memang cekal hatinya, amat sukarlah untuk mendengar tangisan semasa berkhatan. Siap berkhatan, mereka sudah kembali bermain bersama rakan-rakan dan menaiki sampan.
Keadaan juga menjadi seperti pesta kerana apabila seorang berkhatan, yang lain semua sibuk hendak melihat. Tidak kiralah tua atau muda, lelaki atau perempuan!
Filed under Agama, Budaya |10 Responses to “Pesta Khatan di Kemboja”
Leave a Reply





Teringat semasa kecil-kecil dahulu. Abah beritahu minggu depan along(abang saya) akan berkhatan. Along pun tersenyum bangga. Dan saya yang tidak tahu apa-apa tentang khatan terus kata, “Azree pun nak khatan juga la!”
Minggu depannya ikut abah dan along ke klinik. Masa itu pun saya masih tidak tahu apa itu khatan. Dalam kereta abah tanya, “Siapa nak khatan dulu ni?”
“Azree dulu la abah” jawab along.
Saya mengangguk-angguk sambil tersenyum.
Selepas siap dikhatan, memang terus saya marah-marah along.
P/s: Umur masa tu 5 tahun. Along pula darjah 2.
Azree & Firdaus,
Saya teringat kata-kata abang saya sebaik keluar dari bilik doktor selepas khatan: “Lain kali Along tak nak sunat kat sini lagi… sakit!”
Ketika itu umurnya 9 tahun.
Azree & Tuan Faris; Terima kasih kerana berkongsi pengalaman anda yang indah!
hurm..kalau gaji polis RM100-200, ibarat orang Malaysia gaji RM1000 tapi kos khatan seorang anak RM500.
wahhhh adik ku Firdaus ni dah masuk (kumpulan) Tok Mudin di Kemboja?…
Bagus betul budak-budak Kemboja tu… ‘menyerah diri’ untuk disunatkan!
Teringat iklan TV9 ketika baru-baru mula beroperasi 2 tahun dahulu!… lari lintang pukang bila nampak (pisau) tok mudin.
Teruskan usaha-usaha murni ‘bakti siswa’ ketika di kampus, gelanggang yang sihat untuk belajar erti kehidupan.
Tahniah!
Tuan Sabtu; Tugas utama saya adalah ambil gambar dan mencatat cerita. Saya doktor komputer, bukannya doktor manusia!
Pasti ramai doktor yang turut serta semasa itu. Doktor hati, doktor duit, doktor perubatan, doktor manusia, doktor haiwan dan macam-macam lagi lah.
Memori yang memang terpahat bagi lelaki yang sudah jawi.
Tahniah bagi yang menjayakan program itu!
Roslan; Boleh dikatakan semua fakulti di UIA mempunyai wakil dalam misi ini. Ekonomi, Undang-undang, ICT, Pengajian Islam, Sains Kemanusiaan, Kejuruteraan, Arkitek, semua adalah!
Jadi pesta tu yang tak tahan. Agaknya bersunat di sana termasuk dalam kategori mewah?
Ya, boleh dikatakan bersunat itu satu perkara yang mewah bagi mereka. Tambahan pula harga barang semakin meningkat.