Pesta Khatan di Kemboja
Antara aktiviti utama kami semasa di Kampung Dam Sbai, Battambang, Kemboja adalah mengkhatankan kanak-kanak lelaki Islam di sana. Kami datang dengan dengan dua doktor - Dr. Ariff & Dr. Dinon serta dua pelajar kejururawatan dan seorang pelajar perubatan sebagai pembantu. Kos untuk berkhatan di Kemboja adalah sekitar RM30 hingga RM50 tetapi dengan pendapatan yang kecil keutamaan adalah untuk membeli makanan. Bayangkan, gaji polis hanyalah sekitar RM100-RM200.
Jadi, apabila mengetahui kami menawarkan khidmat khatan secara percuma maka ramailah yang datang. Suasananya semacam pesta kerana begitu ramai kanak-kanak yang datang. Ada yang datang dengan ibu bapa, ada juga yang datang sendiri atau bersama rakan-rakan. Kanak-kanak perempuan juga turut datang mengikut abang atau ibu bapa mereka.
Tempat berkhatan adalah di perkarangan masjid - cukup sekadar meja, kerusi dan tirai untuk dijadikan dewan bedah. Segala peralatan dan ubat-ubatan adalah dibawa dari Malaysia.
Pada hari pertama, kami tidak bersedia untuk menghadapi kehadiran begitu ramai peserta. Akibatnya, langsung tiada sistem giliran. Siap seorang dikhatankan, tiga lagi sudah melompat naik ke atas meja untuk berkhatan. Kata Dr. Dinon, “Aku tak peduli, siapa naik aku potong. Pandai-pandai kamu semualah hendak bagi siapa dulu berkhatan.”
Maka, terpulanglah kepada mereka berebut-rebut untuk bersunat. Syukur tidak timbul sebarang kekecohan atau pergaduhan. Anak-anak Kemboja memang cekal hatinya, amat sukarlah untuk mendengar tangisan semasa berkhatan. Siap berkhatan, mereka sudah kembali bermain bersama rakan-rakan dan menaiki sampan.
Keadaan juga menjadi seperti pesta kerana apabila seorang berkhatan, yang lain semua sibuk hendak melihat. Tidak kiralah tua atau muda, lelaki atau perempuan!
Filed under Agama, Budaya | Comments (10)Mengurus Maklumat Sejarah
Apabila menulis novel sejarah, tentunya ada banyak maklumat yang perlu dikumpul dan diuruskan. Antaranya adalah tarikh dan peristiwa. Ketepatan maklumat adalah penting untuk menghasilkan karya yang bermutu.
Tetapi, bukannya mudah untuk menguruskan maklumat yang banyak. Kadangkala naik juling mata melihat tarikh-tarikh itu. Maka, teknologi dapat membantu dalam hal ini. Download sahaja template Excel timeline_bargraph.xls ini dan masukkan data peristiwa-peristiwa sejarah.
Apabila data dipersembahkan secara visual, kita mungkin dapat melihat perkaitan-perkaitan baru. Contohnya, Salahuddin al-Ayubi adalah sezaman dengan jurutera ulung al-Jazari. Mungkin ada yang dapat menulis fiksyen sejarah tentang perkara ini. Juga dapat dilihat bagaimana sepanjang penguasaan Empayar Uthmaniah, Terusan Suez tidak digunakan.
Cuba fikirkan, apa terjadi jika Terusan Suez ada semasa penguasaan Empayar Uthmaniah? Ha, itu juga pencetus realiti sejarah alternatif dalam Siri Saga Empayar Kristal. Nantikan saya berteori tentang geopolitik dalam sequel Sayap Adinila!
Filed under IT, Sejarah | Comments (2)Muslim Kemboja: Bagaimana Boleh Kita Membantu?
Alhamdulillah, lelah berkelana sudah hilang maka dapat kembali mencoret di blog ini. Sebelum pergi kepada laporan terperinci, ada baiknya disenaraikan dahulu keperluan-keperluan masyarakat Muslim di Kemboja. Kemudian barulah diselami satu persatu.
1. Telekung untuk muslimah
2. Sekolah
3. Guru agama
4. Bekalan elektrik untuk masjid
5. Bantuan asas makanan
6. Infrastruktur asas
7. Bantuan perubatan & bersunat
Entri-entri tentang Kemboja akan saya selang-selikan dengan entri-entri tentang penulisan seperti biasa. Bukannya apa, saya khuatir lethargy akan menukar sympathy menjadi apathy! Ya, seperti para peserta misi yang telah lali melihat anak-anak disunat!
Filed under Agama, Budaya | Comments (7)Berkelana ke Kemboja
Bermula esok hingga 16 April 2008 saya akan berkelana ke Kemboja. Bukannya bercuti tetapi menyertai Misi Dakwah & Kemanusiaan anjuran UIAM. Sepanjang tempoh ini, kemungkinan besar blog ini tidak akan dikemaskini. Paling awal adalah 14 April apabila kami akan melawat Siam Reap sebelum bertolak pulang. Selebihnya, kami akan berada di Batambang.











