November 11th, 2007
Mempersembahkan cerpen fiksyen sains karya Ahmad Patria Abdullah. Terima kasih banyak-banyak kepada penulis fiksyen sains Anis Sarah kerana sudi scan dan berkongi bahan dari arkibnya.
Senja merah telah pun bertukar menjadi malam hitam ketika aku sampai di rumah. Proton Solarku berdesir perlahan dan kemudian terus senyap apabila aku mematikan enjinnnya di dalam garaj. Perlahan-perlahan katarodku mendarat di atas bumi. Pintunya terbuka secara automatik. Aku pun melangkah keluar dengan perasaan lega setelah sehari suntuk bekerja di pejabat. Pak Karim yang setia menantiku, seperti biasa menyambutku dengan senyum mesra.
“Assalamualaikum, Mus,” katanya sambil menyambut begku.
“Waalaikumussalam,” sahutku sambil membalas senyumannya.
“Bagaimana dengan kerja Mus hari ini? Bagus?” tanya Pak Karim semasa mengiringi aku ke dalam rumah.
“Seperti biasa. Tandatangan itu, tandatangan ini, naik lenguh tangan,” ujarku separuh berjenaka.
Wajah Pak Karim yang sudah separuh abad itu menguntumkan sebuah senyuman mesar. Namun tubuhnya yang sihat dan gagah itu seolah-olah menafikan bahawa umurnya telah lanjut. Dia telah bekerja denganku selama sepuluh tahun. Dalam tempoh itu, dia telah membuktikan dirinya sebagai seorang yang patuh, setia dan amanah terhadap tugasnya. Sikapnya yang memahami jiwaku sebagai seorang yang lebih muda darinya menyebabkan terjalinnya satu talian hubungan yang erat di antara kami. Orang seperti Pak Karim, amat sukar ditemui. Aku bertuah mempunyai penjaga rumah sepertinya.
“Ah, tapi tandatangan seorang jutawan seperti Mus tentu jauh lebih berharga, mungkin bernilai jutaan ringgit jika dibandingkan dengan tandatangan Pak Karim,” sahut Pak Karim. Dia meletakkan begku di dalam bilik dan kemudian menjemput aku minum the.
“Mus sepatutnya mencari seorang isteri untuk menjaga segala keperluan Mus di rumah,” Pak Karim menyambung perbualan kami sambil menjeling ke arahku dengan penuh makna. Kata-katanya menarik satu senyuman nipis meniti di bibirku.
“Mungkin masanya belum tiba,” balasku ringkas. Namun kata-kata Pak Karim itu mempunyai kebenarannya. Kadang-kadang memang aku berasa sunyi tetapi aku mempunyai tugas yang lebih penting daripada menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Tugas untuk negara menuntut sepenuh pengorbanan dariku. Secara zahirnya, aku seperti orang lain tetapi di sebalik kenormalan tiu, tersembunyi satu dunia lain. Di dalamnya, hidupku penuh bahaya. Rahsia inilah yang menyebabkan hatiku tertutup rapat.
Malam itu, selepas menunaikan solat Maghrib, aku termenung di jendela memerhatikan bintang-bintang di langit. Suasana di sekelilingku terasa begitu tenang dan damai. Angim malam yang lembut menegurku dengan satu kemesraan yang asing, membisikkan janji-janji manisnya ke telingaku. Suasana beginilah yang menyebabkan aku enggan mengubah markas empayar perniagaanku ke Marikh sepertu business tycoon yang lain. Sememangnya cukai di Marikh lebih rendah jika dibandingkan dengan kadar yang dikenakan di bumi, tetapi planet merah itu tidak mempunyai suasana seperti di Bumi. Aku sayangkan Bumi.
Aku sayangkan Bumi… tiba-tiba aku dikejutkan oleh bunyi beeper yang terletak di sisi katil. Hologram Mahmud menjelma di hadapanku.
“Situasi Kod Merah,” ujar Mahmud dengan serta-merta. Wajahnya kelihatan lebih serius dari biasa. “Sila laporkan diri ke MENARA sekarang juga.”
Hologram Mahmud luput dari pandangan. Sejurus kemudian Proton Solarku meluncur di atas Lebuhraya Utama menuju ke Pangkalan Angkasa Aera yang terletak di pinggir Kuala Lumpur. Pas penerbangan dengan keutamaan tertinggi membolehkan aku masuk ke cockpit sebuah Helang IV tanpa sebarang karenah birokrasi. Tiga puluh minit selepas panggilan Mahmud, aku membelah stratosfera menunju ke kapal angkasa gergasi yang menjadi markas kepada Perkhidmatan Risik Persekutuan.
“Anda sekarang memasuki medan sasaran MENARA. Sila beri kod pengenalan diri,” tiba-tiba sahaja suara mendatar itu memecahkan keheningan cockpitku. Aku menekan kod berkenaan ke dalam transmisi. Sedetik kemudian aku diberi kebenaran untuk mendarat. Sebuah gerbang kebenaran terbuka di hadapanku. Aku disambut oleh seorang kapten marin yang membawa aku ke Bilik Operasi. Di sana aku bertemu dengan Laksamana Paie. Kehadirannya mengejutkan aku. Selaku Timbalan Ketua Angkatan Perang Angkasa Persekutuan, Laksamana Paie hanya akan dipanggil sekiranya berlaku sesuatu krisis besar yang memerlukan perhatian terus daripada Pejabat KAPA.
“Adakah Mahmud telah beri penerangan kepada kau?” tanya Laksamana Paie tanpa membuang masa.
“Tidak,” kataku sambil menggeleng.
“Kalau begitu, aku akan jelaskan situasi semasa kepada kau,” kata Laksamana Paie. Matanya cengkung dan merah. Dia juga telah dikejutkan daripada tidurnya oleh panggilan kecemasan Kod Merah.
“Pada jam 2300, satelit AMARAL di sektor 48, iaitu di sekitar orbit planet Zauhal, telah mengesan satu objek asing ke dalam Sistem Matahari. Objek tersebut tidak membalas sebarang isyarat radio dan tidak mempunyai sebarang kod pengenalan Persekutuan, sama ada perdagangan atau ketenteraan. Skan MENARA menunjukkan tidak ada sebarang hidupan di dalam objek berkenaan. Jam 2315, objek berkenaan mengubah vektor ke gelang asteroid di sektor 6. Jam 2345, satelit AMARAL di sektor berkenaan melaporkan kemusnahan Pangkalan Asteroid 1. Jam 2351, sebuah lagi pangkalan dilaporkan musnah. Satu skuadron pejuang AN 15 dari TRAPER telah menjejak objek tersebut di sektor 12. Hubungan dengan mereka terputus pada jam 0012. Besar kemungkinan skuadron itu telah dimusnahkan oleh objek berkenaan. Berdasarkan transmisi terakhir yang diterima daripada mereka, serta data-data yang elah dikumpulkan, objek berkenaan dikenalpasti sebagai sebuah unit AMUK,” jelas Laksamana Paie dengan panjang lebar.
“AMUK?” aku terkejut mendengar kata-katany. Dia mengangguk perlahan, membenarkan sangkaanku.
“Oleh kerana TRAPER tidak mempunyai juruterbang berpengalaman dalam situasi pertempuran yang melibatkan unit AMUK, maka KAPAtelah menghubungi KERIS. Kami difahamkan bahawa KERIS mempunyai kepakaran di dalam bidang ini,” ujar Laksaman Paie lagi sambil menjeling ke arahku dengan tajam.
“Benar,” sahutku sambil membalas jelingannya. “Beberapa orang perisik KERIS pernah terlibat dalam peperangan di antara Konfederasi dan Empayar Halon, di mana AMUK telah digunakan buat kali pertama oleh pihak Konfederasi.”
“Oh? KERIS juga ikut terlibat di dalam peperang itu, ya?” kenis Laksamana Paie terangkat. Aku memahami soalan yang bermain di fikirannya.
“Kita tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan Empayar Halon, malah tindak-tanduknya di peringkat antara galaksi sering menyusahkan Persekutuan. Tetapi Konfederasi adalah musuh yang nyata dan KERIS berpendapat bahawa pertolongan yang diberi kepada Empayar Halon, biarpun secara rahsia, akan menyusahkan Konfederasi di samping memberi peluang untuk meninjau peralatan perang serta senjata-senjata Konfederasi yang paling terbaru. AMUK adalah salah satu daripada senjata Konfederasu yang diperkenalkan di dalam peperangan itu,” ujarku menyahut pertanyaan yang bermain di dalam fikiran Laksamana Paie.
“Dan kau turut serta di dalam peperangan itu?” soalnya lagi.
“Aku dinaikkan pangkat Kapten kerana penglibatanku di dalamnya,” jawabku perlahan.
“Kau pernah lihat AMUK bertempur?” tanya Laksamana Paie.
“Ya, ia adalah senjata yang amat berbahaya. Aku pernah menyaksikan sebuah unit AMUK memusnahkan tida buah skuadron pejuang Halon secara serentak. Hanya sebuah Penggempur Bintang dapat menahan serangan dari sebuah unit AMUK,” jelasku. Suaraku berat dengan seribu kenangan.
“Kalau begitu kita tidak boleh berlengah lagi. Ternyata bahawa unit AMUK yang kini berkeliaran di angakasa Sistem Matahari merupakan satu ancaman besar kepada keselamatan Persekutuan. Ia mesti dihalang sebelum melakukan lebih banyak kerosakan. Bolehkah kau melakukannya?” ujar Laksaman Paie dengan suara tegang.
“Aku akan cuba, tetapi aku perlukan pertolongan kau,” kataku dengan nada yang berat.
“Katakan sahaja apa yang kau perlukan,” balas Laksamana Paie ringkas.
“Sebuah pejuang AN 17 yang dipasang dengan dua buah peluru berpandu jenis Gergasi 1,” jawabku tegas.
“Kau meminta yang terbaik. Pejuang AN17 adalah pejuang Persekutuan yang terbaru dan termoden sementara Gergasi 1 pula adalah peluru berpandu yang mempunyai kemampuan untuk memusnahkan sebuah planet. Adakah kau benar-benar pasti bahawa kau akan memerlukan peralatan yang sebegini canggih?” ternyata Laksamana Paie agak keberatan untuk menunaikan permintaanku.
“Laksamana, aku telah menyaksikan kemampuan peperangan AMUK dari dekat. Aku tahu apa yang boleh dilakukannya. Aku hanya mempunyai peluang untuk memusnahkannya jika peralatanku adalah hasil teknologi Persekutuan yang terbaik,” kataku dengan bersungguh-sungguh. Laksamana Paie merenung wajahku buat beberapa saat, seolah-olah mengambil masa untuk membuat keputusan. Kemudian dia mengangguk perlahan.
“Baiklah,” ujar Laksamana Paie akhirnya. “Aku bersetuju beri kau sebuah AN 17 dan dua peluru Gergasi 1. Aku harap kau berjaya.”
“Terima kasih Laksamana.” Aku mengucapkan penghargaanku di atas pertimbangannya yang wajar. Kemudian aku berpusing lalu melangkah menuju ke kabin Persalinan Juruterbang yang terletak di bawah dek kawalan MENARA.
“Kapten,” suara Laksamana Paie tiba-tiba sahaja mematikan langkahku. Aku menoleh ke arahnya. Dia menyambut renungan aku dengan wajah tenang.
“Adakah kau akan memerlukan skuadron pejuang untuk bertindak sebagai pengiring?” soalnya dngan nada yang perlahan tetapi jelas. Aku menggeleng.
“Tidak. Mulai saat ini misi ini menjadi satu misi solo. Pertarungan ini adalah antara aku dan AMUK. Tetapi kalau aku gagal, lakukanlah apa sahaja yang perlu untuk memsnahkannya, biarpun kau terpaksa memanggil seluruh Armada untuk berbuat demikian,” sahutuku dengan tetang. Laksamana Paie mengangguk dan aku menyambung kembali langkahku yang terhenti. Tiga puluh minit kemudian aku berlepas dari MENARA di dalam sebuah kapal angkasa pejuang jenis AN 17 dan dua buah peluru berpandu Gergasi 1 yang bakal menjadi senjata keramat dalam usahaku untuk memusnahkan AMUK yang kini menjadi musuhku.
Filed under Cerpen, Fiksyen Sains, Malaysia |
salam.
ish, saya belum layak digelar penulis fiksyen sains lagi. apapun, semua cerpen-cerpen penulis kesayangan saya tu sedang dalam pencarian. bila masuk semester baru, saya akan hantar, ok?
Panjang cerita ni. Rasanya latar belakang cerita tentang kewujudan konfederasi dan persekutuan sahaja sudah 3 muka surat Dewan Kosmik cetak.
emmm…
rase-rase la kan..ktne ekk leh dpt bace sume cerpen nih??
best tau..dlu mase tahun 93-94 rajin bace nihh…