Pasaran Produk Agama
Fenomena Harry Potter yang meletup-letup yang melanda dunia telah membuka mata generasi digital untuk membaca buku dan menggunakan imaginasi mereka. Namun begitu, ada juga pihak yang kurang senang dengan pengaruh Harry Potter seperti gereja-gereja. Sebab yang biasa diberikan adalah penggunaan sihir dan ilmu hitam walaupun mendapat sokongan Vatican.
Di Amerika, fantasi fiksyen Kristian berkembang pesat untuk ‘melawan’ pengaruh Harry Potter. Pasaran buku agama di US menokok 5.6% pada tahun 2006. Data juga menunjukkan pembeli buku Kristian membelanjakan 50% lebih tinggi berbanding pembeli buku Amerika yang biasa.
Secara keseluruhan, pasaran produk Kristian berkembang USD4 billion kepada USD4.63 billion pada tahun lepas. Walmart juga telah mula memasarkan figura aksi ‘berasaskan Bible’ untuk bertanding dengan figura aksi Transformers dan Spiderman.
Apa pula relevannya dengan kita di sini? Tentunya bukan untuk meluaskan pasaran produk Kristian di Malaysia ini. Kita ambil isi trend ini, adakah relevan dengan pasaran produk Islami yang ada di Malaysia? Mungkinkah fiksyen fantasi Islami akan mendapat tempat di hati masyarakat?
“Fiksyen fantasi PTS adalah pro-tauhid, pro-ilmu dan pro-sains!”
Rujukan Data: BBC
Filed under Agama, Bisnes, US | Comments (4)Menyampaikan Backstory II
Kali ini, kita sama-sama lihat bagaimana hendak menyampaikan backstory teknikal pula. Backstory teknikal adalah relevan dan penting bagi kedua-dua genre sains fiksyen dan fantasi. Dengan mengambil pandangan bahawa dunia fantasi dan fiksyen sains itu sebagai watak, backstory teknikal adalah ruang untuk memperkenalkan watak dunia ini.
Unit Ukuran
Untuk menggambarkan saiz dan keupayaan gunakan ukuran serta bandingan. Mungkin hanya satu kapal perlu dijelaskan ukurannya, kapal-kapal lain sekadar dibandingkan dengan kapal yang pertama tadi.
Tentang unit ukuran pula, dalam fiksyen sains boleh menggunakan ukuran piawai yang sedia ada. Unit rekaan juga boleh dicipta jika bersesuaian - terutamanya bagi cabang sains yang baru atau rekaan. Mungkin ada yang mahu mencipta unit untuk keupayaan teleportasi misalnya.
Bagi karya fantasi pula, gunakan unit yang membandingkan dengan anggota badan manusia seperti jengkal, hasta, dan langkah. Untuk menggambarkan kekuatan pula bandingkan dengan kekuatan manusia dan haiwan - segagah sepuluh manusia atau sekuat 10 ekor gajah misalnya. Boleh sahaja mencipta unit rekaan tetapi tetapkan tukarannya dan skalanya.
Bersambung…
Filed under Fantasi, Fiksyen Sains, Malaysia, Penulisan | Comment (0)Menyampaikan Backstory I
Salah satu perkara yang dibincangkan dalam bengkel sai-fai Sabtu lalu ialah bagaimana menyampaikan backstory kepada pembaca. Backstory yang kukuh akan mendokong karya tetapi janggal pula bagi penulis hendak ‘berceramah’ panjang lebar tentang sesuatu backstory.

Di sini ada beberapa cadangan untuk menyampaikan backstory. Pertama boleh digunakan teknik ‘umpatan’ - yakni dua atau lebih karakter bercerita tentang watak yang lain. Mungkin boleh bercerita tentang rakan atau musuhnya. Masuk akal bukan? Sudah menjadi kebiasaan kita mendengar seseorang bercerita tentang orang lain.
Kedua, melalui interkasi watak. Hubungan antara dua watak dapat ditunjukkan melalui cara mereka berinteraksi. Contohnya, sekiranya dua watak ini asyik menyakat antara satu sama lain akan menunjukkan mereka mempunyai hubungan yang rapat. Cara sesuatu watak itu menggelar watak yang lain juga dapat memberi kesan yang sama. Misalnya, gelaran tuan menunjukkan pangkat yang lebih tinggi, sungguhpun tidak dinyatakan pangkat watak itu.
Pengulangan aksi juga boleh digunakan sekiranya tidak mahu menggunakan dialog. Tabiat atau kegemaran sesuatu watak itu dapat ditunjukkan melalui pengulangan aksi. Paling mudah, watak itu asyik mengunyah makanan yang sama menunjukkan dia gemar makanan tersebut. Perkara yang watak itu berulang kali menolak dapat menunjukkan ketakutannya, seperti tidak mahu menaiki tangga yang tinggi. Watak Robert Langdon dalam Da Vinci Code misalnya, akan tergagak-agak untuk memasuki kawasan sempit kerana pernah terjatuh dalam telaga.
Persamaan aksi dan dialog juga dapat menunjukkan backstory serta hubungan antara dua watak. Ambil contoh teknik bermain pedang, teknik yang sama digunakan oleh dua watak yang berbeza dapat memberi maksud mereka belajar dengan guru yang sama. Mengalunkan lagu yang sama pula dapat menunjukkan mereka berasal daripada daerah atau sekolah yang sama.
Entri yang berikutnya, kita akan membincangkan cara menyampaikan backstory teknikal pula.
Filed under Fantasi, Fiksyen Sains, Konsep, Penulisan | Comments (3)


