Bulan Dipagari Bintang

July 30th, 2007

Bagai bulan dipagari bintang, mungkin itulah ungkapan terbaik bagi menerangkan mengapa cerita-cerita hebat hanya mempunyai seorang heroin. Seperti Star Wars Episode I-III (Padme Amidala) , Episode IV-VI (Leia Organa), siri Naruto (Sakura) , siri Doraemon (Sizuka) dan francais Tomb Raider (Lara Croft). Hatta Surah Yusuf pun hanya mempunya seorang watak utama perempuan.

200px-padmesw2.jpg

Seorang wanita di kalangan sekumpulan lelaki tentu sekali nampak cantik walaupun kecantikannya sederhana sahaja. Pengarah filem juga tidaklah pula mencari supermodel bagi menjadi pelakon dalam filemnya. Salah seorang peserta bengkel (maaf, saya lupa tanya nama!) tempoh hari berteori bahawa seorang heroin tidak akan mengganggu fokus penonton atau pembaca. Jika ada dua atau lebih heroin tentunya penonton membanding-bandingkan heroin mana yang lebih cantik dan menjadi fokus mereka.

Sahabat saya Syarafuddin pula berteori bahawa mempunyai lebih dari satu heroin akan melambatkan jalan cerita. Iyalah, bukankah normal bagi wanita berbicara lebih panjang daripada lelaki. Heroin yang lembut gemalai juga tidak boleh beraksi dengan begitu pantas. Maka mempunyai lebih dari satu heroin akan melambatkan cerita.

Akhirnya, saya berteori dari segi psikologi penulis dan pencipta cerita. Kebanyakan penulis cerita dan skrip adalah lelaki, maka mungkin juga watak heroin yang seorang itu adalah terjemahan ciri-ciri seorang wanita idamannya. Kalau banyak heroin dicipta, mungkin si penulis berminat untuk berpoligami!

Saintis Steampunk

July 27th, 2007

differen-tm.jpg

Dalam entri lepas, ada disebut tentang komputer mekanikal ciptaan Charles Babbage yang dipaparkan dalam genre steampunk. Konsep asal komputer mekanikal memerlukan ruang yang besar dan tidak pernah disiapkan semasa hayat penciptanya. Kini, dengan teknologi nano para saintis mengaplikasikan konsep komputer mekanikal pada skala yang jauh lebih kecil.

Sungguhpun tidak sepantas komputer elektronik menggunakan silikon, komputer mekanikal nano adalah lebih lasak. Lihat bagaimana konsep yang lama dapat dimodenkan. Mungkin dapat memberi inspirasi untuk karya baru!

Baca selanjutnya di BBC.

Nota Kaki: Mari Melawat International Islamic Fair di PWTC!

Steampunk

July 25th, 2007

Topik hari ini bukannya tentang kumpulan punk, tetapi sebuah sub-genre Fantasi. Terminologi ini merujuk kepada karya-karya di mana latar dunianya penggunaan kuasa stim masih meluas. Eranya selalu sekitar kurun ke-19, acap kali Era Victoria di England. Menariknya, subgenre ini boleh mempunyai elemen fiksyen sains atau fantasi, seperti teknologi fantasi seperti mesin masa dalam karya H.G Wells, atau pembangunan teknologi masa kini seperti komputer yang berlaku pada masa yang lebih awal. Ada juga karya steampunk yang mempunyai elemen fantasi dan magik.

180px-steamboy.jpg

Steampunk banyak meneroka senario-senario ‘what-if’? Contohnya apa terjadi sekiranya komputer mekanikal ciptaan Charles Babbage dapat disiapkan dan era teknologi maklumat berlaku lebih awal. Atau bagaimana jika penggunaan kapal udara adalah meluas?

Ciri ini menyebabkan Steampunk mempunyai kaitan rapat dengan konsep realiti alternatif. Tema yang diterokai adalah seperti kesan teknologi kepada kehidupan manusia dan geo-politik. Ada juga yang meneroka pertentangan nilai seperti memilih antara magik dan teknologi.
Dari sudut budaya, steampunk mempunyai konotasi ‘rebellious’ dan ‘anti-authority’. Ini dapat dilihat melalui latar dunia yang huru-hara dan berlaku peperangan.

Namun begitu, banyak juga karya yang sekadar mengambil stail visual dan konsep dunianya. Stail visualnya dapat dilihat melalui ciptaan mekanikal yang komples, kemasan tembaga, jam mekanikal dan sebagainya.

200px-348209howllg.jpg

Konsep Howl’s Moving Castle

Jepun juga menghasilkan karya-karya steampunk seperti Sakura Wars, yang mengambil latar Era Taisho di awal 1900-an. Siri ini menampilkan robot-robot tempur berkuasa stim. Filem Steamboy pula mengambil latar Era Victoria. Filem Hayao Miyazaki, Howl’s Moving Castle mempunyai elemen steampunk dan magik. Latarnya adalah sekitar Eropah.Keunikan steampunk yang boleh memuatkan elemen fantasi dan fiksyen sains memungkinnya menjadi jambatan antara kedua-dua genre ini. Lebih menarik lagi, subgenre steampunk boleh dikembangkan lagi untuk teknologi berbeza. Wujud juga dieselpunk dan  clockpunk (Era Renaissance). Anda boleh sahaja mencipta subgenre baru, jadi ______punk pula!

Bush = Vader?

July 22nd, 2007

Video ini adalah komentar Middle East Media Research Institute tentang Star Wars: Revenge of the Sith. Tonton video ini dan berikan pendapat anda!

Nota Kaki : Sekiranya tidak dapat membuka video tersebut, baca transkripnya di sini.

Inovasi Sains Dari Star Wars II

July 20th, 2007

superlaser_01ds.jpg

Hari ini, kita lihat satu lagi inovasi sains yang mempunyai ilham dari Star Wars. Kali ini, adalah untuk tujuan ketenteraan. Kontraktor-kontraktor ketenteraan di Amerika seperti Lockheed Martin dan Northrop Grumman telah mengambil konsep dari Death Star untuk menghasilkan paten bagi senjata baru.

Dengan menggabungkan beberapa pancaran laser yang koheren mereka menjangkakan dapat menghasilkan output pancaran laser yang mencukupi untuk tujuan pemusnahan. Sama seperti Death Star, tiada elemen optik diperlukan untuk menggabungkan pancaran-pancaran laser itu.

Huh, ini satu ciptaan yang saya harap mereka tidak berjaya hasilkan!

Nota Kaki: Imperial Army dalam Star Wars juga bergantung kepada kontraktor-kontraktor luar untuk peralatan mereka.