Budaya Robot: Jepun lawan Amerika

May 27th, 2007

Salah satu tema dalam fiksyen sains adalah robot dan cyborg. Tema ini sering digunakan dan banyak siri-siri hebat dan berpengaruh terhasil dalam sektor ini. Contohnya Gundam, Doraemon, dan Transformers. Tema ini turut digunakan bersama tema lain seperti ‘virtual reality’ dalam siri The Matrix juga dalam tema mutants seperti X-Men.

Namun begitu, kita dapat lihat kontras dalam tema ini antara fiksyen sains dari Jepun dan dari Amerika. Fiksyen sains Jepun melihat robot dengan cara yang lebih mesra, banyak karya mereka menunjukkan persahabatan antara manusia dan robot. Lihat sahaja Doraemon dan Astro Boy. Watak robot utama ini membantu manusia, bersahabat dengan manusia.

Adakalanya dipaparkan bagaimana robot berkorban untuk menyelamatkan manusia dan begitu juga sebaliknya. Lihat bagaimana Doraemon menyelamatkan Nobita dan bagaimana Nobita menangis bila disangkanya Doraemon telah ‘mati’. Astro Boy pula membantu menyelamatkan dunia dengan kuasa supernya. Watak-watak robot ini begitu insani, mereka gembira bersama kita, kehilangan mereka diratapi.

Amerika pula sering prejudis terhadap robot. Robot digambarkan sebagai musuh dan berniat menguasai manusia. Lihat sahaja X-Men, robot-robot Sentinel sentiasa memburu para pejuang X-Men. Ambil pula The Matrix, robot-robot telah menakluk manusia dan memerengkap mereka dalam dunia realiti maya. Dalam siri Transformers pula terdapat puak robot Decepticon yang jahat dan robot gergasi Unicorn yang menelan planet-planet.

Jadi, kita lihat di sini bagaimana berbezanya pendekatan dalam tema ini antara dua budaya ini. Saya mengandaikan perbezaan ini tercetus disebabkan sejarah kedua-dua negara itu sendiri. Lihat Doraemon dan Astro Boy yang dicipta selepas Perang Dunia Kedua di Jepun. Doraemon dan Astro Boy adalah simbol kepada harapan serta semangat untuk Jepun bangkit semula.

Teknologi yang dipaparkan dalam kedua-dua siri ini menjadi inspirasi untuk Jepun membina kekuatan teknologi mereka. Kerana pembaca-pembaca siri ini berani berimaginasi dan menjadikan robot seperti itu satu kenyataan. Contohnya; QRIO dari Sony dan ASIMO dari Honda adalah terjemahan dari imaginasi itu.

200px-astroboy.png

Amerika pula? Didapati bahawa penciptaan komputer di sana asalnya adalah untuk tujuan ketenteraan dan teknologi yang berkaitan seperti kepintaran buatan (A.I) serta robot juga tidak terkecuali. Mereka mencipta peluru berpandu pintar untuk menghapuskan musuh, robot pula untuk mematikan bom musuh. Sekarang Tentera Amerika pula berangan-angan untuk menghasilkan kereta kebal yang boleh pergi sendiri berjuang di medan perang dan membunuh musuh-musuh.

Robot-robot Amerika masih ‘terpenjara’ di kilang-kilang bekerja siang dan malam sedang robot-robot Jepun telah mula hidup di samping manusia seperti PaPeRo dari NEC dan AIBO dari Sony. Amerika hanya ada Roomba di rumah, itu pun kerjanya hanya vakum lantai! AIBO pula bermanja dengan tuannya, menari dan merakamkan detik-detik manis melalui kameranya.

Nah, fikirkan. Siapa kata fiksyen sains terlepas dari aspek budaya?


20 Responses to “Budaya Robot: Jepun lawan Amerika”

  1. SifuPTS on May 27, 2007 2:10 pm

    Saudara Firdaus,

    Memang saudara punya bakat menjadi profesor sai-fi!

  2. anTusufi on May 27, 2007 2:49 pm

    Assalamualaikum..

    menarik…dr website SIFU, aku tersampai di sini…”menarik”, kata hatiku…

    fiksyen sains beretika Islamiah…sungguh bertuah kalo berpeluang membaca atau menontonnya….

    salam ukhuwwah dr aku….izinkan blog ini di-link-kan ke blog kami :)

    wslm…

  3. rastom on May 27, 2007 4:20 pm

    Ulasan menarik! Dalam sejarah budaya antara Asia dan Barat, dari zaman dulu kita lihat peradaban Asia dicorakkan oleh agama lain hal pula di Barat..

  4. Firdaus on May 27, 2007 7:43 pm

    Terima kasih atas sokongan anda semua. Silakan untuk link blog ini. Buat masa ini, entri akan masuk setiap 2 hari. Masih banyak bahan yang harus dikumpul dan dianalisa!

  5. SifuPTS on May 27, 2007 10:45 pm

    Saudara Firdaus,

    Topik yang saudara bincangkan di sini tidak terlintas dalam kepala saya, maklumlah saya hanya tengok sebelah mata sahaja karya sai-fi.

    Apabila membaca entri saudara ini, baru mata saya yang sebelah lagi terbuka!

    Bahasa Melayu saudara saya beri A+. Ejaan betul. Tanda bacaan betul. Tatabahasa betul!

    Perenggan-perenggan saudara perlu dipendekkan, supaya lebih mudah dibaca dengan mata natural - 3 ayat satu perenggan adalah optimum.

  6. SifuPTS on May 27, 2007 10:51 pm

    Sambung….

    Petik: “Nah, fikirkan. Siapa kata fiksyen sains terlepas dari aspek budaya?”

    Contoh yang saudara berikan dalam entri saudara berkenaan kebenturan pemikiaran sai-fi pada environ budaya amat menyedarkan saya betapa kita perlu memikirkan aspek kutural dalam aktiviti kreasi sai-fi Melayu!

    Terima kasih, profesor kecilku, kerana menulis entri yang menyalakan mentol-mentolku imaginasiku!

  7. Saifuddin on May 28, 2007 1:29 am

    Saya faham maksud saudara tentang perbezaan pandangan alam robot antara Amerika dan Jepun, cuma boleh dipanjangkan lagi, kerana saudara hanya membawa contoh-contoh mungkin tidak begitu menyeluruh. Memang benar apa yang saudara perkatakan tentang pandangan Amerika tentang robot dengan membawa contoh-contoh dalam filem seperti The Matrix, X-Men dan lain-lain. Bagaimana pula dengan filem Artificial Inteligence (AI) arahan Speilberg, robot-robot dalam Star Wars arahan George Lucas atau filem kegemaran semua Robocop dan banyak lagi.

    Bagi saya nilai-nilai yang wujud dalam filem-filem berkenaan boleh dilihat sebagai satu pandangan nilai orang ’sana’. Mungkin kita boleh bincangkan tentang kesan yang berlaku akibat dari ledakan animasi dari Jepun, yang mempengaruhi pemikiran tekno di sana.

  8. Firdaus on May 28, 2007 1:53 am

    Saifuddin, ini baru permulaan. Nanti kita tengok satu persatu tentang watak-watak robot ini. Saya pun perlu ambil masa tengok semula filem-filem itu semua.

    Tentu sekali ada pengaruh Jepun ke atas Amerika. Saya fikir, kartun ‘My Life as a Teenage Robot’ adalah ‘Astro Boy’ versi Amerika. Tapi di situ masih ada prejudis terhadap robot.

  9. Saifuddin on May 28, 2007 1:59 am

    Tidak mengapa, saya sengaja komen begitu, hanya untuk memanaskan lagi blog ini.

    Kartun itu masih lagi mempunyai sikap prejudis pada robot. Tetapi saudara, adakah sikap masyarakat Jepun itu yang baik diiikuti apabila berinteraksi dengan robot? Atau kita harus kembali kepada agama kita yang meletakkan hubungan dengan makhluk itu sebagai asas atau bagaimana?

    Saudara Firdaus sudah tengok ke filem AI tu? Boleh nangis tu…

  10. Zamri Mohamad on May 28, 2007 12:13 pm

    Saudara Firdaus,
    Saya pautkan laman weblog ini ke blog saya. Saya nantikan entri terbaru setiap dua hari. Jumpa nanti dalam kursus untuk trainers!

  11. afyan on May 28, 2007 12:54 pm

    Wah, menarik sekali blog ini.

    Mungkin sdr boleh membuat ulasan tentang fenomena “super hero” yang kadang-kadang menjadikan kanak-kanak berimaginasi menjadi “super hero” idaman mereka sehingga menimbulkan perkara-perkara negetif seperti keganasan, khayalan, dan sebagainya.

    … sekadar pandangan :)

    http://www.afyan.com

  12. SifuPTS on May 28, 2007 1:41 pm

    Saya sentuh apa yang ditulis oleh En. Saifuddin tentang nilai dan agama.

    Saya usulkan supaya aktiviti kreasi sai-fai Melayu dipahatkan pada nilai-nilai Islami. Sastera sai-fai adalah media yang berkesan bagi menyalurkan maklumat agama dan budaya kita kepada generasi muda.

    Sai-fai Amerika menyalurkan nilai-nilai kultural Amerika. Demikian pula sai-fai Jepun.

  13. Saifuddin on May 28, 2007 2:31 pm

    Saya setuju Puan. Tetapi kita lihat tumpuan pihak media lebih kepada komersialisasi semata-mata. Kebanyakannya membawa kepada nilai emosi yang mengelirukan dan terlalu mistik sehingga tidak menjadi realistik. Namun saya tidak nafikan usahanya memang ada. Tetapi impaknya belum mengena. Mungkin kita boleh panjangkan lagi kerana saya hanya pandai berkata-kata sahaja.

    Mungkin saya tersalah tembak, minta dibetulkan.

  14. PEMINATKARYATEMPATAN on May 28, 2007 4:32 pm

    Ini bukan cara genius….kita terlalu banyak bercakap dan mengulas tentang apa yang telah di capai oleh orang luar sedangkan membuat atau mengusahakan spt apa yg mereka lakukan jauh sekali.Budaya ini sama sahaja di jabatan2 kerajaan yang terlalu banyak seminar dan kursus…hasil pencapaian macam tu jugak.jadi fikir2 kan lah….

  15. Hantu silap mata on May 28, 2007 4:54 pm

    Adakah ini ada kaitan dengan promosi TRANSFORMER yang akan ditayangkan di panggung nanti?

    mahu tengok iklan robot saya? alifstyle.blogdrive.com/

  16. Firdaus on May 28, 2007 6:02 pm

    Encik peminat, kami hargai komen encik. Jadi pastikan projek novel saya siap nanti! Sifu PTS pun akan turut memastikan kerja saya siap nanti. Itu sebab dua kali sehari ada entri baru. Kerana hari satu lagi saya tumpukan buat novel baru. :)

    Satu lagi, sila-silakanlah guna email encik yang sebenarnya. Kami takkan sekat kritikan. Spam dan bahasa yang tidak beradab sahaja yang akan dibuang.

  17. SifuPTS on May 28, 2007 8:47 pm

    Tuan Peminat,

    Bercakap-cakap itu disebut ‘taaruf’ dalam bahasa Arab. Ia amat besar kegunaannya. Yang tidak berguna adalah bercakap-cakap dengan tujuan menghentam orang, membodoh-bodohkan usaha orang, mencari salah orang, dan merendah-rendahkan pencapaian orang, manakala diri sendiri tidak mengemukakan sebarang idea yang membina.

    Teropong saya memang jarang berbohong kepada saya, insyaAllah.

  18. SifuPTS on May 28, 2007 8:53 pm

    Saudara Saifuddin,

    Tentang nilai mistik itu, saya juga prihatin, sebab ia memang amat menghampiri syirik. Jadi kita mesti jangan tergelincir, mula-mula mahu tulis buku fiksyen fantasi, tetapi lama-lama terjatuh ke dalam cerita mistik.

    Makanya saya mahu baca sinopsis cerita dulu, kemudian saya luluskan, baru ditulis. Dengan cara ini, kita dapat menjaga supaya fiksyen yang ditulis itu kekal Islamik, dari ayat pertama sehingga ayat penamatnya.

  19. Ulat buku on May 29, 2007 10:02 am

    Wah! perincian yang sangat menarik. Ulasan berpaksikan fakta dan kajian analisa. Memang hebat betul saudara firdaus ni.

  20. aef ser on July 3, 2007 3:39 am

    I’m currently doing a research about japan anime. Can I get your email address a.s.a.p

Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply

Name (required)

Email (required)

Website

Speak your mind